ANTARA gambar yang diambil oleh Hishamuddin.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Jika dilihat sekali imbas, gambar yang dimuat naiknya di laman sosial seperti diambil menggunakan kamera digital lensa tunggal reflex (DSLR).

Ia kerana hasil gambar berkenaan nampak ‘hidup’ dan tidak keterlaluan jika dikatakan setanding karya jurugambar profesional.

Namun hakikatnya, Hishamuddin Hashim, 30, hanya menggunakan kreativitinya dan mencantikkan lagi gambar berkenaan dengan aplikasi fotografi yang terdapat di dalam telefon pintar.

Hishamuddin yang lebih mesra dengan panggilan Abeden berkata, dia tidak pernah mengikuti kelas tertentu, sebaliknya mempelajari sendiri teknik mengambil dan menyunting gambar.


ABEDEN belajar sendiri teknik mengambil dan menyunting gambar.

“Bidang fotografi bukanlah minat saya pada awalnya namun mula terjebak selepas ditugaskan mengambil gambar untuk dimasukkan ke dalam laporan ketika bekerja di sebuah syarikat suatu masa dulu.

“Bermula dengan suka-suka kemudian timbul minat dan keinginan untuk serius. Akhirnya, saya nekad berhenti kerja dan menjadi jurugambar bebas sepenuh masa.

“Boleh dikatakan keputusan itu dibuat kerana minat untuk mencuba sesuatu yang baru dan mencari kepuasan berkarya dengan menggunakan telefon pintar,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.


HISHAMUDDIN ketika mengendalikan sesi fotografi menggunakan telefon pintar.

Anak kelahiran Gua Musang, Kelantan itu tidak menafikan ada pihak yang meragui kebolehannya sebagai jurugambar telefon pintar.

Namun dia tidak mengambil peduli kerana masih ramai yang mempercayai dirinya, sekali gus memberi peluang untuk menjadi jurugambar pada majlis tertentu.

“Kerjaya sebagai jurugambar sudah sinonim dengan kamera, jadi satu perkara biasa apabila ada yang janggal melihat kami bekerja dengan menggunakan telefon bimbit.

“Zaman sudah berubah dan sebab itu saya tidak ragu-ragu menjadi jurugambar telefon pintar sepenuh masa.

“Bukan mahu menafikan fungsi dan kemampuan kamera namun tiada salahnya memanfaatkan teknologi yang ada untuk kemudahan dalam kerjaya,” katanya yang juga anak keempat daripada enam beradik.


ANTARA gambar yang diambil oleh Hishamuddin.

Menurut Hishamuddin, selain sibuk dengan kerja hakikinya sebagai jurugambar, dia turut membuka kelas fotografi bermula Julai lalu untuk berkongsi ilmu dan kemahiran dengan mereka yang berminat.

Katanya, setakat ini, seramai 160 individu sudah mendapat bimbingannya yang lebih menekankan tiga segmen penting dalam setiap sesi iaitu komposisi gambar, teknik suntingan dan latihan amali.

“Saya lihat orang kita lebih suka meniru berbanding menghasilkan sendiri sesuatu dan situasi itu turut berlaku dalam bidang fotografi.

“Saya tidak mahu ia berterusan dan itu sebabnya kita perlu mencuba cabang fotografi baru yang menggunakan telefon pintar sebagai alternatif untuk maju ke hadapan.

“Jika bijak mencari peluang, kemahiran itu boleh digunakan untuk mencari pendapatan sampingan terutama buat mereka yang hanya mempunyai telefon pintar dan belum berkemampuan membeli kamera DSLR,” katanya.


ANTARA gambar yang diambil oleh Hishamuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 12:25 AM