HASIL kerja tangan artis muda ini bukan saja menampilkan perincian halus subjek duit syiling tapi pada masa yang sama menzahirkan sikap manusia terhadap wang.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Melihat hasil kerja tangan anak muda ini menerusi lensa kamera, ia terlihat seperti ukiran logam. Namun selepas menghayati karyanya secara dekat, ternyata sangkaan penulis meleset.

Mengetengahkan karya dengan genre realisme, karya Muhamad Firdaus Nordin, 24, ternyata menampilkan perincian halus membuatkan ia kelihatan realistik.

Berkesempatan menemu bual anak muda berasal dari Pauh, Perlis ini, peribadi artis muda yang selesa disapa Firdaus mencerminkan minat mendalamnya terhadap bidang seni halus.

Menurut Firdaus, minat dan bakat melukis mula dipupuk sejak kecil.

“Sejak kecil lagi saya memang gemar melukis. Namun, minat itu semakin mendalam dan serius ketika saya berada di tingkatan enam.

“Ketika itu saya ambil jurusan seni. Jadi, dari situ saya lebih terdedah dan terbuka mengenai bidang ini.

“Saya mengambil keputusan untuk sambung pengajian peringkat tinggi dalam bidang seni halus,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus Pengkhususan Lukisan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Firdaus berkata, subjek syiling menjadi fokus utama dalam penghasilan karyanya kerana ia dilihat relevan dengan suasana ekonomi terkini.

“Saya pilih subjek syiling kerana bertepatan untuk dikaitkan dengan situasi naik dan turun nilai wang sekarang.

“Tapi itu tidak difokuskan dalam kajian saya kerana objektif utama saya menzahirkan subjek berkenaan adalah berkait dengan keperluan manusia zaman sekarang.

“Pada zaman ini, wang menjadi salah satu keperluan manusia. Secara kasarnya, wang bukan saja dapat memenuhi keperluan tapi turut penting dalam memuaskan kehendak lain,” katanya.


LUKISAN realisme gunakan aluminium sebagai medium.

Katanya, syiling juga menjadi simbol pada kuasa kerana realitinya wang menjadi sumber kekuasaan di dunia.

“Siapa yang ada duit maka dialah yang berkuasa kerana ia dapat menguasai dalam pelbagai hal. Menguasai dunia dan menguasai orang lain,” katanya.

Penggunaan syiling juga salah satu cara Firdaus mengekspresikan rasa dan idea yang terlintas khususnya mengenai isu sosial yang dilihat menerusi kaca matanya sendiri.

“Apa yang dapat saya katakan, manusia mampu jadi sangat taasub terhadap wang sehingga sanggup melakukan apa saja demi mendapatkannya.

“Sebagai contoh, kalau di peringkat nasional mungkin boleh diandaikan dengan kes rompak, ragut dan bunuh manakala di peringkat global ia mampu mencetuskan peperangan, penindasan dan penjajahan,” katanya.

Menariknya, Firdaus turut menggunakan medium aluminium bagi menghasilkan rupa dan perincian yang tampak realistik.

Setiap karya yang dihasilkan mengambil masa kira-kira seminggu untuk disiapkan, katanya ketika ditemui ketika mengadakan persembahan berkumpulan, Imago Mundi di Hotel Hula, baru-baru ini.

Terbaru, Firdaus sedang menyiapkan karya baru untuk pameran Catharsis yang bakal berlangsung di Galeri Universiti Malaya pada 9 Februari ini.

“Buat masa sekarang saya akan fokus pada penghasilan karya dengan subjek syiling dan mata wang untuk seberapa lama yang boleh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2018 @ 12:01 AM