BERSAMA rakan baru dan lama ketika belajar di Norway.
EVA bersama rakan menunggang unta di Tunisia.
Shuhada Mansor
gen.y@hmetro.com.my


Tidak menolak kemungkinan faktor cuaca dan kesibukan kerja di negara asalnya, Norway sedikit sebanyak membentuk personaliti Eva Kristin Seth, 29.

Penulis pertama kali bertemu Eva ketika melancong ke Norway, tiga tahun lalu. Empat hari tinggal bersama Eva di Bergen waktu itu jelas membuktikan dia seorang yang ‘introvert’.

Introvet adalah karakter yang suka menyendiri. Lebih selesa berada di rumah berbanding di luar, kurang bercakap ketika bersama kumpulan besar dan seumpamanya.

Namun, kali kedua bertemu Eva di Malaysia cukup mengejutkan. Perwatakannya jauh berbeza dengan apa yang penulis nampak tiga tahun lalu. Katanya, pengembaraan dua bulan di beberapa negara di Eropah berjaya mengubah karakternya.

MULA DENGAN PAKSA

Dua minggu di Tunisia dikelilingi orang baru dan cuaca yang jauh berbeza berbanding Norway adalah kesukaran yang perlu dihadapi.

“Awalnya saya agak takut untuk menyapa orang, apa lagi memulakan perbualan. Tapi apabila menghadapi kesukaran dalam soal tempat tinggal di kota kecil, saya terpaksa biasakan diri untuk bertanya.

“Dari situ, saya mula jadi lebih berani walaupun kurang yakin. Apabila sudah selalu, sekarang jadi terbiasa. Malah saya gembira karakter boleh diterima orang lain,” katanya.

Eva berkongsi cerita dia bertemu dua pengembara lain di hostel di Tunisia dan mereka melakukan aktiviti bersama.

Katanya, itu kali pertama dia meluangkan masa bersama orang yang tidak dikenali tetapi pengalaman dan detik itu menjadi keselesaan baru untuknya.

JADI LEBIH SELESA

Menurut Eva, kini dia berasa selesa apabila dikelilingi orang baru dari seluruh dunia dan berkongsi pelbagai cerita menarik.

“Awalnya sewaktu di Itali, saya menginap di hotel tapi selepas bertemu pengembara lain di jalan, saya diajak untuk tinggal di hostel yang sama dengan mereka.

“Malam pertama agak kurang selesa sebab bilik perlu dikongsi dengan enam orang lain walaupun semuanya perempuan. Tapi aktiviti di hostel pada malam hari penuh gelak ketawa, saya rasa saya mula belajar untuk rasa selesa,” katanya.

Begitu juga sewaktu dia belajar di Norway. Katanya, dia bersama dua rakan yang dikenali dan dua lagi kawan baru.

Walaupun pada awalnya susah untuk mulakan perbualan, akhirnya dia berjaya melepasi fasa itu hingga selesai pelajaran.

“Pada pendapat saya, memang sukar untuk seorang introvert mengembara sendiri. Dalam keluarga saya sering dilabel suka menyendiri dan berahsia. Tapi selepas saya cabar diri untuk ke luar negara dalam tempoh agak lama, saya percaya dengan keluar dari zon selesa boleh buka minda dan ubah perwatakan sedia ada.

“Selain itu banyak pengetahuan lain saya pelajari di sepanjang perjalanan. Ia membuatkan saya rasa hidup ini bukan cuma untuk diri sendiri tetapi dikongsi bersama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2018 @ 2:03 PM