Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Dulu, aktiviti membeli-belah terhad di kedai atau pusat beli-belah, namun kewujudan teknologi menjadikan kebanyakan individu lebih cenderung membuat pembelian dalam talian.

Golongan muda antara yang tidak terkecuali kerana bagi mereka, pembelian lebih mudah dan untuk apa menyusahkan diri jika segalanya boleh didapati di hujung jari.

Namun, jika terlalu obses, ada kemungkinan anda boros ketika berbelanja kerana terpengaruh dengan tawaran hebat.

Sebaliknya pula bagi mereka yang bijak memanfaatkan medium urus niaga itu kerana dapat berjimat lebih-lebih lagi jika item dibeli itu adalah jenis ‘preloved’ atau terpakai.

Ini juga alternatif untuk remaja berstatus pelajar atau mereka yang mempunyai tabiat ‘pakai buang’ dan antara item fesyen boleh didapati dengan hanya satu klik ialah :

Pakaian

Bayangkan anda perlu menghadiri majlis makan malam dengan tema tertentu dalam waktu terdekat dan tiada bajet yang besar untuk membeli pakaian.

Selain ke kedai bundle, alternatif lain adalah dengan mencari pakaian bersesuaian di portal jual beli dalam talian kerana di situ pelbagai jenis pakaian ditawarkan daripada persalinan lelaki, perempuan sehinggalah ke fesyen Muslimah.

Pilihan juga lebih banyak dan anda boleh cuba tawar-menawar harga dengan penjual. Itu kelebihannya kerana tidak semestinya pakaian yang dijual di butik dalam pusat beli-belah memenuhi cita rasa anda dan jika berkenan sekalipun, ada kemungkinan harganya di luar kemampuan.

Kasut

Jika tidak sempat ke butik, masih ada cara lain untuk membeli kasut iaitu dengan menempahnya di portal jual beli dalam talian.

Namun, sebelum membuat pembelian, pilih saiz yang betul dan tanya penjual sama ada stok kasut berkenaan masih ada atau tidak.

Ia bagi memastikan anda tidak tersilap membeli kasut dan menyesal kemudian hari!

Beg

Bagi penggemar beg berjenama, laman sosial dan portal jual beli dalam talian adalah alternatif untuk anda mendapatkannya pada harga lebih rendah.

Bagaimanapun, anda perlu memastikan beg berkenaan benar-benar asli sebelum meneruskan pembelian dan sebaik-baiknya, minta nasihat daripada mereka yang arif.

Jangan kerana terlalu taasub terhadap barangan berjenama, anda tertipu dan menanggung kerugian besar.

Aksesori

Tidak semua individu gemar memakai aksesori kerana ada yang hanya menggayakannya ketika menghadiri majlis tertentu.

Jadi, daripada membazir, lebih baik anda beli saja aksesori ‘preloved’ terus dengan penjual di laman sosial atau portal jual beli dalam talian.

Tiada salahnya membeli yang murah lebih-lebih lagi jika anda bukannya peminat nombor satu aksesori!


AKSESORI ‘preloved’ menjimatkan.

Alat solek

Pencinta alat solek dan kosmetik juga boleh mendapatkan item kesukaan mereka itu di portal jual beli dalam talian.

Jika bernasib baik, anda akan mendapat diskaun yang tinggi atau tidak dikenakan caj penghantaran.

Pelbagai jenis alat solek dijual dan anda cuma perlu menyediakan wang secukupnya saja!


PELBAGAI jenis alat solek dijual dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 2:43 AM