SYAZA sahut cabaran bekerja sebagai mekanik penyelenggaraan kapal terbang.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my

Kerjaya sebagai mekanik hakikatnya lebih dimonopoli lelaki namun Syaza Raehah Mohamad Haris, 29, membuktikan wanita juga mampu jika serius melakukannya.

Kemampuan Syaza dapat dilihat apabila menjadi satu-satunya wanita yang bekerja sebagai mekanik penyelenggaraan kapal terbang di sebuah syarikat penerbangan swasta di Lapangan Terbang Antarabangsa, Senai, Johor Bahru.

Meskipun masih baru dalam bidang berkenaan, gadis kelahiran Bandar Penawar, Johor ini mengakui seronok kerana dapat mempelajari pelbagai kemahiran dan pengetahuan baru sepanjang tiga tahun menceburi bidang berkenaan.

“Ikutkan, saya memang lasak sejak kecil dan mempunyai ramai kawan lelaki. Jadi, tiada masalah untuk bergaul dengan mereka termasuk ketika bekerja.

“Cuma saya perlu akui kudrat dan keupayaan wanita tidak sama dengan lelaki jadi perlu mengambil masa menyiapkan tugasan tertentu.

“Namun, itu hanya pada peringkat awal kerana kini saya lebih yakin dan bersyukur kerana mendapat kepercayaan menyelesaikan tugasan lebih besar dan mencabar,” katanya yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kapal Terbang (Kepujian) Avionik UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT).

Syaza berkata, selain perlu bersaing dengan lelaki, tuntutan kerja memaksanya bersedia untuk dipanggil bekerja di luar waktu pejabat dan mengenal pasti masalah pesawat yang di luar jangkaan.

Katanya, kesabaran tinggi amat penting selain kemahiran mengendalikan sesuatu dengan cekap dan cermat.


SYAZA satu-satunya mekanik penyelenggaraan wanita di syarikat dia bekerja.

“Setiap pesawat mempunyai masalah yang berbeza jadi setiap hari, cabarannya tidak sama malah ada kalanya perlu mengikuti penerbangan ke luar negara jika diperlukan.

“Namun, saya terima sebagai pengalaman dan di sebalik kepayahan itu ada keseronokannya iaitu apabila dapat bekerja sambil mengembara.

“Itu satu bonus lebih-lebih lagi saya memang gemar melancong dan belum tentu ada peluang sebegitu seandainya tidak bekerja dalam bidang ini,” katanya.

Ditanya mengenai perancangannya, Syaza berkata, dia bercadang mengambil lesen di Embry Riddle Aeronautical University, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada April nanti .

Katanya, lesen itu penting kerana membolehkannya menyelenggara pesawat berdaftar AS sekali gus menjadi jurutera penyelenggaraan kapal terbang berlesen.

“Jika tiada halangan, saya akan berada di sana selama dua minggu bagi menduduki peperiksaan dan semua kos ditanggung sendiri.

“Diharap semuanya berjalan lancar dan lulus peperiksaan berkenaan supaya impian mendapatkan lesen tercapai kerana menjadi matlamat saya untuk memajukan diri dalam bidang ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 3:38 AM