KANDUNGAN tambahan menjawab segala persoalan tapi tidak lagi menakutkan seperti game asal.
KANDUNGAN tambahan menjawab segala persoalan tapi tidak lagi menakutkan seperti game asal.
KANDUNGAN tambahan menjawab segala persoalan tapi tidak lagi menakutkan seperti game asal.
Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Resident Evil 7 mungkin tidak mencapai hasil jualan seperti keluaran kelima dan keenam, tapi eksperimen terbaru Capcom ini pasti menjanjikan pengalaman paling menyeramkan untuk semua pemain sama ada veteran atau amatur.

Di samping sudut kamera yang kini berubah kepada ‘first-person’, RE 7 juga mengetengahkan elemen seram yang klasik. Tempatkan protagonis yang bukan ejen atau askar dalam satu rumah usang di Louisiana dan hadkan jumlah peluru serta senjata canggih.

Itu sudah mencukupi untuk menggembirakan pemain veteran seperti penulis sendiri yang sudah lama menantikan konsep ‘survival-horror’ dihidupkan kembali dan nyata, Resident Evil 7 menyampaikan konsep itu dengan jayanya.

Sedikit mengenai plotnya, Resident Evil 7 membawa anda mengikuti perjalanan Ethan Winters dalam mencari isterinya, Mia yang hilang sejak tiga tahun lalu. Tapi malangnya, Ethan terperangkap dalam rumah usang keluarga Bakers yang dijangkiti virus baru dicetuskan oleh Eveline, seorang kanak-kanak yang diubah genetiknya untuk menjadi senjata bio.

Dalam edisi Gold, pemain akan meneruskan kembara Chris Redfield memburu Lucas, anak sulung Jack Baker yang melarikan diri ke Salt Mines. Dalam satu kandungan tambahan lain, nasib Zoe Baker didedahkan.

NOT A HERO

Kandungan tambahan (DLC) percuma ini boleh dikatakan tidak mengecewakan kerana ia menerangkan kejadian seterusnya susulan kematian Eveline.

Penulis mengawal Chris Redfield yang kini berkhidmat di bawah Blue Umbrella. Tidak seperti Ethan yang menempuhi kembara berisiko, Chris sudah bersiap sedia untuk memburu Lucas dengan koleksi senjata canggih dan bom tangan.

Penulis dilengkapi pistol dan senapang patah lebih berkuasa untuk sekali lagi melawan Molded, makhluk yang terhasil daripada virus Eveline. Tapi kali ini, sesi permainan lebih memfokuskan kepada aksi daripada seram.

Molded kali ini lebih berkuasa dan membuatkan penulis terfikir pelbagai cara untuk membunuh mereka. Peluru amat terhad tapi penulis berupaya menumbuk musuh selepas menembak titik kelemahan, satu keupayaan yang tidak boleh dilakukan Ethan.

Tapi ia tidaklah begitu ‘overpowered’ kerana tumbukan itu tidak menjatuhkan musuh lain sebaliknya hanya menyebabkan mereka berundur. Jika gunakan bom, Molded ini akan terus hancur berkecai.

Dalam Not A Hero, terdapat Molded versi baru berwarna putih yang hanya boleh dibunuh dengan peluru tertentu dibekalkan oleh Blue Umbrella. Penulis menghadapi kesukaran membunuh semua Molded putih itu kerana jumlahnya yang agak banyak.

Selain itu, terdapat topeng oksigen yang boleh dinaik taraf untuk memasuki kawasan yang mempunyai kandungan virus di udara dan digunakan dalam gelap. Penulis juga menjumpai satu kawasan yang dipasang perangkap bom dan jika satu daripadanya meletup, terus tamat permainan.

Pada akhirnya, penulis berjaya menjejak Lucas yang tiada jalan keluar. Dia bertukar menjadi Molded lebih berkuasa, mempunyai kebolehan untuk melompat lebih tinggi. Bagaimanapun, penulis berjaya menewaskannya dengan gabungan senjata api dan bom.

END OF ZOE

Dalam DLC ini pula, penulis meneruskan kembara sebagai Joe Baker, bapa saudara Zoe. Kenapa Joe? Ini kerana dia adalah satu-satunya penyelamat Zoe selepas bertukar menjadi kepompong kristal akibat virus Eveline.

Walaupun tidak memiliki senjata canggih, Joe mempunyai kepakaran semula jadi, hanya menggunakan tangan! Penulis boleh menumbuk Molded dan terdapat barang yang boleh menguatkan lagi kuasa tumbukan itu.

Penulis boleh katakan End of Zoe seperti game yang berlainan kerana tiada senjata api. Apa-apa pun, ia juga dipenuhi aksi dan kurang rasa seram kerana Molded itu tidak lagi menakutkan apabila beberapa tumbukan saja sudah boleh membunuh mereka.

Dalam perjalanan mencari penawar untuk Zoe, penulis menemui cara membuat lembing dan akhirnya berdepan dengan Jack Baker yang sebenarnya masih hidup!

Tapi pada saat itu, penulis sudah pun dilengkapi sarung tangan mekanikal yang boleh dicas untuk melepaskan satu tumbukan elektrik yang boleh menghancurkan Molded dengan sekali tumbukan saja.

Agak sedih sebenarnya kerana Joe tidak mempunyai pilihan untuk membunuh darah dagingnya sendiri yang sudah tidak terkawal dan menjadi makin liar. Selepas kematian Jack, akhirnya Zoe berjaya sembuh dan Chris Redfield hadir memberi perlindungan kepadanya.

KESIMPULAN

Secara keseluruhan, kandungan tambahan ini menamatkan teka-teki peminat mengenai apa yang berlaku kepada Zoe dan Lucas Baker. Bagaimanapun, ia penuh dengan aksi dan sesi permainannya agak pendek.

Kedua-dua DLC diselesaikan dalam masa kurang daripada enam jam. Penulis sememangnya berharap Zoe menjadi teraju untuk DLC terbaru daripada Capcom ini tapi sayangnya karakter terpenting itu hanya terlantar sakit sepanjang masa.

Bagi DLC Not A Hero, ia sedikit mengecewakan untuk bermain daripada sudut kamera ‘first-person’ kerana penulis tidak dapat menyaksikan kehebatan Chris menumbuk, menembak dan menewaskan Molded.

Apa yang pasti, DLC ini tak memberi apa-apa klu mengenai Resident Evil 8. Bagaimanapun, syarikat yang mencipta Eveline mungkin akan menghasilkan senjata bio berbentuk manusia yang lebih bahaya pada masa depan.

Bagi penulis sendiri, Capcom perlu mengubah Resident Evil 8 kepada ‘third-person’ dan masih mengekalkan elemen seram. Buktinya, penulis menikmati sesi permainan The Evil Within 2. Masih menjadi tanda tanya sama ada Shinji Mikami, pencipta francais Resident Evil akan kembali untuk memfokuskan pembangunan Resident Evil 8 nanti tapi diharap beliau akan membuat kemunculan kembali kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:46 AM