AKSI stunt Hafiz di MAPS, Ipoh Perak.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Mula aktif melakukan aksi lagak ngeri pada usia 17 tahun, Muhammad Nur Hafizzudin Muhammad Jasmani, 26, kini boleh berbangga dengan kerjayanya sebagai pelakon lagak ngeri profesional (stuntman).

Menerusi aksi pelakon lagak ngeri di dalam filem, pasti kita fikir ia hanyalah lakonan semata-mata tanpa menjejaskan keselamatan diri.

Hakikatnya, mereka ibarat menggadaikan nyawa dan hanya berserah kepada takdir dalam setiap aksi yang dilakukan bagi menjayakan babak sesebuah filem.

Menurut Muhammad Nur Hafizzudin atau lebih mesra disapa Hafiz, segalanya bermula dari bawah dan berbekalkan minat yang mendalam terhadap bidang aksi lagak ngeri ini.

“Saya masih ingat waktu saya mula-mula membabitkan diri dalam kerjaya pelakon aksi lagak ngeri.

“Ketika itu, pak cik kepada rakan saya mencari ‘stuntman’ bagi melakonkan aksi menunggang motosikal berbahaya seperti ‘wheelly’ dalam filem V3 Samseng Jalanan.

“Tanpa berfikir panjang, saya terus menerima tawaran itu dan berhijrah ke Kuala Lumpur. Bermula saat itu, kehidupan saya berubah 180 darjah dan mula fokus belajar banyak teknik stunt baru daripada stuntman berpengalaman.

“Rezeki saya mudah apabila ditawarkan berlakon untuk filem kedua iaitu Kapoww yang dibintangi pelawak terkenal, Zizan Razak.

“Dalam filem itu, saya belajar lebih banyak teknik seperti terbang (rigging), membuat bahan letupan (pyro), kesan percikan darah dan meletupkan kereta,” katanya.

Katanya, bukan mudah menguasai semua jenis teknik dan dia mengambil masa kira-kira enam tahun untuk mahir sepenuhnya.


SETIAP kali melakonkan babak ngeri dia lebih gemar bersendiri dan fokus.

“Bukan senang untuk bergelar pelakon lagak ngeri profesional kerana perlu disiplin dan kesabaran yang tinggi.

“Ini kerana dalam apa jua aksi, ia membabitkan nyawa saya dan sesaat terleka mungkin boleh terkorban.

“Namun kerana minat, saya hindarkan perasaan takut dan terus mempelajari pelbagai teknik baru.

“Setakat ini, lebih 10 teknik sudah saya kuasai seperti fighting, koreografi, bike rider, stunt ride, pyro, rigging dan banyak lagi,” katanya yang berasal dari Paya Dalam, Melaka.

Kata anak sulung daripada empat beradik ini, kerjaya sebagai pelakon lagak ngeri hanya boleh dilakukan oleh individu yang berhati kental.

“Mungkin anda fikir aksi kami dalam filem hanyalah sekadar lakonan semata-mata sedangkan kami menggadaikan nyawa demi meneruskan hidup.

“Kami perlu lakukan aksi secara realiti, tetapi menggunakan teknik yang betul. Contohnya aksi bergaduh, ada ‘lenggok’ yang dipraktikkan agar aksi pergaduhan itu nampak betul dan bukannya ‘kayu’.

“Memang ada kecederaan dan lebam, tetapi ia tidak serius. Oleh sebab itulah kami digelar pelakon lagak ngeri profesional,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman yang mencabar dan tidak mungkin dilupakan, Hafiz berkata, akibat tidak berhati-hati separuh wajahnya pernah terbakar.

“Saya membuat bahan letupan untuk digunakan dalam babak filem dan ia meletup secara tiba-tiba menyebabkan separuh wajah saya melecur.

“Hampir setahun saya ambil masa untuk pulih sebelum memulakan kerja macam biasa.

“Namun begitu, saya tidak pernah serik dan menjadikannya sebagai pengajaran serta belajar daripada kesilapan,” katanya.

Perasaan takut memang tidak pernah hilang dalam diri manusia biasa, begitu juga dengan Hafiz yang sentiasa berdepan dengan risiko berbahaya.

Kata Hafiz, setiap kali melakonkan babak ngeri dia lebih gemar bersendiri dan fokus supaya segala aksi lakonannya berjalan lancar.

“Saya memang akan bersendiri dan fokus lebih-lebih apabila melakukan aksi kereta terbalik.

“Dalam filem, nampak macam mudah, tetapi perasaan saya di dalam kereta hanya Allah yang tahu.

“Walaupun saya memakai sut keselamatan penuh dan topi keledar, setiap kali kereta berpusing saya tetap terasa hentakan kuat terutama di bahagian kepala.

“Memang saya berasa sangat takut, tetapi perlu yakin kerana babak ini hanya boleh dilakonkan sekali saja.

“Ia dikira babak paling besar dalam filem kerana produksi hanya sediakan satu kereta, malah agensi keselamatan seperti bomba dan polis turut dipanggil untuk bersiap sedia jika berlaku kebakaran atau kemalangan,” katanya.


HAFIZ melakukan aksi kereta terbalik.

Bagaimanapun, tawaran berlakon sebagai pelagak ngeri bergantung kepada permintaan pihak produksi.

Sebelum ini, jika tiada tawaran berlakon, Hafiz akan pulang ke kampung halamannya di Melaka dan membantu keluarganya menguruskan perniagaan menjual sate di Bukit Piatu.

“Kali terakhir saya menjalani penggambaran dalam filem KL Special Force arahan Syafiq Yusof yang dijangka bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

“Sekarang ini, saya sudah mempunyai pekerjaan tetap sebagai pelagak ngeri di Movie Animation Park Studios (MAPS), Ipoh Perak.

“Namun jika ada tawaran dari produksi filem, saya akan pertimbangkan,” katanya yang sering berlakon untuk Skop Production.

Demi merealisasikan impiannya, Hafiz berharap dapat pergi lebih jauh dalam kerjaya ini suatu hari nanti.

“Saya bercita-cita untuk beraksi di peringkat antarabangsa dan membuktikan kepada masyarakat kita bahawa anak tempatan mampu melakukan aksi ngeri seperti filem Hollywood.

“Selain itu, saya juga mahu menasihatkan remaja yang gemar menunggang motosikal secara berbahaya agar menjadikan bidang ini sebagai platform membimbing kita ke arah yang betul.

“Daripada merempit, lebih baik gunakan kemahiran yang ada bagi menjana pendapatan lumayan setiap bulan,” katanya.

Hafiz pernah membintangi filem V3 Samseng Jalanan, Kapoww, Abang Long Fadil, Abang Long Fadil 2, KL Gangster 1, Kisah Paling Gangster dan bakal ditayangkan KL Special Force.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 12:00 AM