PUSINGAN akhir peringkat Malaysia diadakan di pusat e-sukan Nagaming.
AHMAD Yazid bersama pemenang.
NORAMEEN (dua dari kanan) bersama Pengarah Komuniti PES League Malaysia, Ahmad Yazid Abdul Rahman (tengah) dan peserta lain.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


Bagi pemain e-sukan, kejayaan tidak terhad kepada memenangi kejohanan dalam negara saja kerana impian mereka adalah melayakkan diri ke peringkat Asia Tenggara dan dunia.

Baru-baru ini, PES Malaysia menganjurkan kejohanan PES 2018 2V2 peringkat Malaysia di pusat e-sukan Nagaming.

Nyata, tuah menjadi milik pasukan Degasa CF yang diwakili Muhammad Khairul Amin Shamsudin dan Mohd Hafeez Shariffudin. Pasangan kedua pula Double Agent diwakili Ahmad Ramli Hamsani dan Norameen Burhanuddin.

Mereka terpilih untuk membawa harapan negara di kejohanan PES 2018 2V2 peringkat Asia di Bangkok, Thailand pada 21 Januari 2018.

Selaku penganjur dan juga pembangun permainan video itu, Konami akan menaja tiket penerbangan dan penginapan kedua-dua pasukan setibanya mereka di sana nanti.

Mereka akan berentap bersama 15 lagi pasangan terdiri daripada 30 pemain dari tujuh negara termasuk Jepun, Singapura, Vietnam, Indonesia, Hong Kong, Thailand dan Korea Selatan.

Norameen yang mewakili pasukan Double Agent berkata, dia berbangga kerana dapat mewakili negara di kejohanan itu kelak.

“Ini sememangnya impian saya sejak tahun lalu selepas berjaya mewakili Malaysia dalam kejohanan di Bandung, Indonesia.

“Tapi bezanya kali ini ia adalah pertandingan dua lawan dua, jadi formatnya berlainan dan banyak cabaran yang perlu saya hadapi,” katanya.

Menurutnya, cabaran paling sukar ialah memastikan keserasian dan komunikasi antara rakannya.

“Masing-masing ada kerja tetap dan waktu latihan kami agak terhad. Oleh itu, kami akan berjumpa untuk berlatih pada hujung minggu.

“Persediaan perlu dibuat dari sekarang kerana pasukan lain yang bertanding bukan calang-calang dan berpengalaman,” katanya.

Norameen berkata, dia bertuah kerana mendapat sokongan isteri apabila ada ‘gamers’ lain tidak mempunyai peluang sepertinya.

“Sejak berkeluarga, waktu bermain agak terhad. Alhamdulillah, isteri saya seorang yang sangat terbuka dan menerima keputusan saya untuk bermain ‘game’ secara kompetitif.

“Tapi tanggungjawab sebagai suami tidak pernah saya abaikan. Saya hanya berlatih bermula jam 10 malam hingga 12 tengah malam,” katanya.

Norameen juga berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) akan memberi sokongan kepada pemain PES di Malaysia untuk ke peringkat Asia Tenggara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2017 @ 4:00 AM