AKSI lincah Nur Amalia ketika di padang.
NUR Amalia bersama ibu dan adiknya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Ragbi mungkin antara sukan digeruni wanita namun tidak bagi Nur Amalia Abd Basir, 14, yang memasang impian besar untuk pergi jauh di lapangan itu walaupun sedar ia lebih didominasi lelaki.

Malah, kerana minat Nur Amalia sanggup menubuhkan pasukan ragbi sentuh dikenali Muskeeteer Victoria pada Ogos lalu yang terdiri daripada sembilan pemain lain.

Baginya, penubuhan pasukan itu adalah permulaan untuk dirinya dan pemain lain mencari pengalaman dalam arena ragbi sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.

“Sebelum aktif dalam sukan ragbi, saya lebih banyak mengambil bahagian dalam acara balapan kategori 100 meter.

“Namun, keinginan mencuba perkara baru mendorong saya bermain ragbi lebih-lebih lagi selepas melihat adik, Ahmad Amsyar Putra, 8, yang terlebih dulu aktif dalam sukan berkenaan.

“Orang lain mungkin nampak ia permainan yang kasar dan mudah mengundang kecederaan namun saya bermain ragbi sentuh yang lebih sesuai untuk perempuan. Memandangkan ini bukan sukan individu, saya tubuhkan pasukan dan alhamdulillah, ia menarik penyertaan rakan yang mempunyai minat sama,” katanya.

Bercerita lanjut, Nur Amalia berkata, disebab­kan terikat dengan sesi persekolahan, dia dan ahli pasukannya hanya dapat menjalani latihan sehari dalam seminggu iaitu setiap Ahad.

Menurut Nur Amalia, sesi latihan di bawah bimbingan jurulatih itu dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk memperbaiki mutu permainan dan mempelajari teknik tertentu yang boleh membantu ketika me­nyertai kejohanan.

“Ikutkan latihan sehari seminggu tidak cukup tetapi itu cabaran untuk memberi sepenuh tumpuan dan tidak leka ketika di padang.

“Ini kerana sukan ragbi memerlukan kecekapan dan penting untuk bekerjasama dalam membuat hantaran bola yang cantik supaya tidak memberi kelebihan kepada pasukan lawan,” katanya.

Nur Amalia berkata, kini pasukannya membuat persediaan untuk menyertai sebuah kejohanan di karnival ragbi pada Januari depan.

Katanya, walaupun sedar bakal berdepan pasukan lawan yang lebih berpengalaman, dia optimis dan tekad memburu kejayaan dalam kejohanan berkenaan.

“Pasukan kami masih amatur dalam sukan ini namun awal bulan lalu, kami meraih kemena­ngan pertama iaitu tempat ketiga dalam sebuah kejohanan ragbi di Pulau Pinang.

“Jujurnya, kemena­ngan itu sangat bermakna dan menyuntik semangat kami untuk terus mempamerkan aksi cemerlang. Namun saya tidak mahu terlalu selesa sebaliknya akan terus giat berlatih kerana setiap kejohanan penting untuk pasukan.

“Begitu juga dengan kejohanan akan datang dan menjadi impian saya untuk membawa pasukan ini beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) satu hari nanti serta mengubah persepsi ma­syarakat yang mengang­gap ragbi hanya sesuai untuk lelaki,” katanya yang turut menjadikan YouTube sebagai tempat rujukan untuk mempelajari teknik permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Disember 2017 @ 6:12 AM