SUKARELAWAN bersama kanak-kanak yang mengambil bahagian.
WARGA emas turut meluangkan masa menyertai kelas bimbingan al-Quran.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Keinginan membantu komuniti setempat mendorong sekumpulan sukarelawan terdiri daripada 26 penuntut Jabatan Bahasa Arab Fakulti Bahasa dan Linguistik Universiti Malaya (UM) menganjurkan kelas bimbingan al-Quran khusus untuk penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) sekitar kawasan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Program selama lapan minggu itu diadakan di Surau An-Nurhidayah, Jalan Pantai Permai membabitkan 20 warga emas dan 20 kanak-kanak.

Guru Bahasa Arab di Fakulti Bahasa dan Linguistik merangkap penasihat program Zazmin Abu Bakar berkata, selain kelas intensif tajwid, beberapa aktiviti lain turut diadakan bersama kanak-kanak berkenaan dan satu daripadanya kem solat.

“Program ini diadakan bagi menzahirkan rasa tanggungjawab golongan muda khasnya mahasiswa terhadap komuniti setempat.

“Aktiviti yang diadakan juga diharap melahirkan mahasiswa yang intelek merangkumi kemahiran komunikasi dan kepemimpinan selain prihatin terhadap golongan kurang bernasib baik.

“Paling penting, kami berharap ia membantu dalam memupuk rasa cinta terhadap al-Quran, sekali gus menghayati dan mengamalkan segala ajaran Allah SWT melalui Rasul-Nya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sukarelawan Muhammad Syafiq Shoif, 20, berkata, dia berbesar hati dapat turut serta dalam program bersama komuniti berkenaan.

Katanya, dia gembira kerana dapat berkongsi dan menyebarkan ilmu pengajian al-Quran dengan cara mudah serta berkesan.

“Program ini diharap membantu warga emas dan kanak-kanak terbabit membaca al-Quran dengan lebih baik mengikut cara yang betul.

“Diharap program ini diteruskan dalam skala lebih besar di kawasan lain yang memerlukan pada masa akan datang,” katanya pelajar tahun kedua Pengajian Bahasa Arab UM itu.

Seorang lagi penuntut tahun kedua Pengajian Bahasa Arab UM, Nik Nur Fatini Abdul Halim, 20, berkata, dia gembira diberi peluang menjadi sukarelawan dan kesempatan untuk berkongsi ilmu dengan masyarakat setempat khasnya kanak-kanak serta warga emas.

“Saya teruja kerana dapat mengaplikasikan kemahiran berbahasa Arab bersama komuniti di kawasan berkenaan dan melihat sendiri kesungguhan mereka untuk belajar terutama kanak-kanak.

“Malah, lebih manis lagi apabila warga emas juga tidak melepaskan peluang untuk turut serta dan aktiviti ini secara tidak langsung mengimarahkan surau dengan cara sihat serta menghiburkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 6:35 AM