BERSAMA rakan.
TETAP gembira walaupun berjauhan dengan keluarga.
MUHAMMAD Muadz bergilir-gilir memasak dengan rakan serumah.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Tinggal berjauhan dengan keluarga sememangnya mencabar kerana memaksa kita berdikari kerana segalanya perlu dilakukan sendiri.

Itu belum lagi berdepan dengan kos hidup yang tinggi lebih-lebih lagi jika menetap di negara Eropah.

Demi berjimat, penuntut Ijazah Sarjana Muda Seni Bina University of Liverpool, Muhammad Muadz Wan Mansor, 22, memilih menyediakan hidangan sendiri di rumah.

Menariknya, Muhammad Muadz tidak bersendirian sebaliknya melakukannya secara bergilir-gilir dengan rakan serumah yang juga penuntut Malaysia.

“Ini tahun ketiga saya menetap di sini dan alhamdulillah, tiada masalah membiasakan diri tinggal di negara orang.

“Cuma mahu tidak mahu, perlu berjimat dan itu sebabnya saya dan rakan serumah bersepakat memasak makanan di rumah.

“Untuk adil, kami buat jadual dan setiap seorang perlu memasak mengikut hari ditetapkan,” katanya yang juga anak ketujuh daripada sembilan beradik.

Pemuda kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, selain menjimatkan kos, inisiatif memasak secara bergilir itu dilihat cara terbaik dalam mengasah kemahiran mereka di dapur.

Malah, amalan makan bersama itu juga menjadikan hubungan mereka bertambah akrab.

“Harga makanan di restoran lebih mahal dan kami juga cepat jemu kerana hidangan disediakan lebih kepada makanan Barat.

“Sebab itu, kami memilih masak sendiri di rumah kerana sekurang-kurangnya dapat memasak hidangan tempatan.

“Paling seronok apabila dapat berkumpul dengan rakan serumah ketika makan sambil menikmati hidangan disediakan mereka,” katanya yang memasang impian menyambung pengajian di luar negara sejak kecil.

Menurut Muhammad Muadz, selain memasak, dia turut membeli basikal sebagai alternatif ke kampus selain memudahkan pergerakan ke sesuatu tempat.

Katanya, dengan cara itu, dia dapat berjimat dan tidak perlu menggunakan pengang­kutan awam di sana.

“Selalunya, saya akan berjalan ke kampus kerana jarak dengan rumah tidak begitu jauh.

“Namun, sekali sekala, saya akan menaiki basikal terutama jika sudah terlambat untuk menghadiri kuliah.

“Bukan saja saya malah rakan lain juga mempunyai basikal sendiri dan ia seperti kebiasaan bagi penuntut di sini,” katanya yang bakal menamatkan tahun pengajiannya pada Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 3:54 AM