AHMAD Amsyar
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


“Ini hadiah hari lahir yang tidak mungkin dapat saya lupakan sampai bila-bila” kata atlet terjun negara, Ahmad Amsyar Azman, 25, yang memenangi pingat emas pertamanya dalam acara terjun individu ketika temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Anak kelahiran Perlis ini tidak menyangka berjaya melakukan terjunan konsisten dalam acara satu meter papan anjal lelaki individu selepas tiga kali percubaan sejak penampilan kali pertamanya di Sukan SEA Myammar 2013.

Kejayaan ini ibarat penebusan kekecewaannya terhadap tragedi yang berlaku ketika penampilan sulungnya pada temasya Sukan Olimpik Rio 2016 berikutan hilang imbangan sebelum melakukan terjunan.

Kesilapan teknikal itu menyebabkan Ahmad Amsyar terhempas ketika mencecah air pada terjunan keenam dan terakhirnya, sekali gus menyaksikannya berada di tangga tercorot daripada 29 peserta.

Berpeluang menemu bualnya baru-baru ini, Ahmad Amsyar tidak kekok berkongsi kisah pembabitannya dalam sukan ini untuk tatapan peminat.

Ahmad Amsyar berkata, dia memang bergiat aktif dengan pelbagai jenis sukan sejak sekolah rendah.

“Saya menyertai pelbagai jenis sukan seperti bola sepak, olahraga dan badminton di Sekolah Kebangsaan Seri Indera, Perlis.

“Namun pada usia 11 tahun, ada jurulatih datang ke sekolah untuk mengenal pasti bakat dalam sukan terjun dan saya mendaftar nama sekadar suka-suka.

“Sebaik saja pulang dari sekolah, saya memaklumkan kepada ayah dan dia membuat kajian mengenai sukan ini. Ayah melihat fizikal, kepantasan dan ketangkasan saya berpotensi pergi lebih jauh.

“Keesokannya, saya pergi menjalani ujian itu di Stadium Perlis dan terpilih menjadi atlet di bawah naungan Perlis,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Katanya, selepas enam bulan dia mula fokus pada sukan terjun saja atas nasihat ayahnya, Azman Hassan.

“Sebenarnya, saya tiada masalah untuk berkecimpung dalam sukan ini kerana dari darjah satu lagi ayah sudah mengajar berenang.

“Cuma awal latihan agak sukar sedikit sebab banyak teknik yang perlu dipelajari seperti kekuatan, kelembutan otot dan ketangkasan.

“Nasib baiklah saya jenis cepat belajar dan hanya ambil masa setahun untuk mahir.

“Sekali gus dipilih mewakili Perlis di Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM), Perlis dalam acara satu meter dan memenangi emas,” katanya.

Katanya, kejayaannya meraih pingat emas menyebabkan semua orang terkejut dan namanya mula meniti dari bibir ke bibir.

“Saya sendiri tidak sangka berjaya memenangi pingat emas dan menjadikan kemenangan itu sebagai pembakar semangat untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi.

“Sejak itu, saya menyertai lebih banyak pertandingan tetapi tidak semuanya menang. Namun begitu saya tidak berputus asa dan usaha perbaiki kelemahan itu,” katanya.

Kehidupan Ahmad Amsyar mula berubah apabila dia menerima tawaran kemasukan tingkatan dua di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menyebabkan jadual hariannya padat.

“Bayangkan seawal jam 6 pagi saya perlu bangun untuk menjalani latihan selama dua jam sebelum bergegas ke kelas dan berlatih lagi pada waktu petang.

“Rutin inilah yang saya ulang sehingga tamat tingkatan lima.

“Walaupun begitu, saya amat beruntung kerana diberi peluang menjalani latihan di lebih 20 negara seperti Russia, Budapest, Mexico dan Florida untuk memantapkan bakat saya selain meneroka keindahan negara lain.

“Tugas saya sebagai atlet mungkin nampak mudah dan seronok, hakikatnya kami berkorban untuk negara, masa bersama keluarga dan rakan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai insiden di Olimpik Rio, penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sukan Universiti Malaya ini berkata, dia menerima ketentuan takdir dan menganggap itu bukan rezekinya.

“Adat dalam pertandingan, menang atau kalah ia perkara biasa. Saya boleh terima hakikat itu tetapi sedikit terkesan dengan kata-kata negatif netizen di media sosial.

“Bagaimanapun, saya bangkit dengan sokongan mak, ayah, sahabat Irfan Sham, rakan seperjuangan, jurulatih dan penyokong.

“Sepanjang proses itu, saya mengalami pelbagai rintangan seperti emosi terganggu kerana terlalu fokus untuk menebus kekalahan di Sukan SEA KL.

“Saya lebih suka bersendirian dan habiskan masa menjalani latihan di Kompleks Renang Bukit Jalil bersama jurulatih, Yong Zhu Liang.

“Beberapa bulan sebelum Sukan SEA pula saya ke China menjalani latihan selama sebulan.

“Usaha saya ternyata berbaloi apabila berjaya menggenggam pingat perak dalam acara tiga meter individu iaitu acara yang saya tewas di Olimpik tahun lalu.

“Saya berjaya buktikan pada rakyat Malaysia! Walaupun hanya menang perak tetapi sorakan orang ramai ibarat saya meraih pingat emas untuk negara,” katanya dalam nada sebak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 1:10 PM