CORAK melintang perlu dielakkan lelaki bertubuh pendek.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Penggemar fesyen kini bukan saja mendapatkan koleksi terbaru mereka di pusat beli-belah, malah boleh membeli pakaian diminati menerusi laman sosial atau portal jualan dalam talian.

Namun, masalah yang kerap dialami pembeli termasuk dalam kalangan remaja adalah apabila pakaian dijual hanya sesuai dipakai golongan tertentu.

Mereka yang bertubuh tinggi dan kurus mungkin tiada masalah kerana boleh menggayakan pelbagai jenis pakaian tanpa sebarang masalah.

Namun, tidak bagi yang golongan ‘katik’ yang lebih sukar untuk mencari pakaian sesuai dengan potongan badan mereka.

Jangan bimbang kerana masih ada cara untuk anda menyembunyikan kekurangan diri dan berikut lima gaya yang sesuai untuk mereka yang rendah:

1. ‘Outfit’

Antara kesalahan besar dan pantang larang untuk lelaki adalah memakai baju dengan corak melintang kerana ia akan menjadikan anda kelihatan bertambah pendek.

Pakaian kolar bulat juga tidak sesuai sebaliknya pilih rona gelap dan baju dengan kolar ‘V’ sebagai alternatif.


BAJU kolar V sesuai untuk mereka yang bertubuh pendek.

Manakala untuk si gadis, elakkan memakai baju dengan potongan besar atau ‘oversized’ walaupun ia adalah trend terkini kerana pakaian berkenaan akan menjadikan kaki anda kelihatan lebih pendek.


PAKAIAN potongan besar tidak sesuai untuk si 'katik'.

Jadi, alternatifnya adalah dengan memasukkan baju ke dalam (tug in) seluar atau skirt bagi menyerlahkan bahagian pinggang dan menampakkan bentuk kaki yang lebih panjang.

2. Warna pakaian

Baik lelaki atau perempuan, kedua-duanya perlu mengelakkan memakai baju berwarna terang kerana akan menyerlahkan kekurangan diri anda yang bertubuh pendek.

Sebaliknya, pilih pakaian rona gelap atau senada bagi memberi ilusi tubuh lebih tinggi dan besar.

Jadi, jangan pandang remeh kerana pemilihan warna pakaian amat penting!


WARNA terang kurang sesuai.

3. Jaket

Bukan satu kesalahan untuk mereka yang bertubuh ‘katik’ memakai jaket cuma pastikan potongan itu sesuai dengan anda.

Untuk lelaki, tidak perlu rasanya untuk memakai jaket berlapis untuk menutup kekurangan diri anda sebaliknya memadai dengan sehelai saja.

Jaket banyak butang juga perlu dielakkan kerana ia lebih sesuai untuk mereka yang tinggi.

Bagi si gadis pula, elakkan memakai jaket besar sebaliknya pilih potongan tidak terlalu ketat atau longgar dan paling penting tidak melebihi pinggang!

4. Kasut

Bagi lelaki, jangan sangka sepatu bertapak tebal atau tinggi seperti but membantu anda kelihatan berbeza daripada ketinggian sebenar kerana tumpuan orang mungkin akan terarah kepada kasut anda saja.

Jadi, kasut tapak biasa sudah memadai malah lebih selesa ketika di pakai.

Berbeza dengan lelaki, kasut tinggi pula adalah kemestian untuk gadis rendah supaya ilusi kaki nampak lebih panjang.


KASUT tinggi item wajib.

5. Aksesori

Jangan ambil mudah dengan pemakaian aksesori kerana silap pemilihan, kekurangan diri anda akan terserlah.

Bagi lelaki yang bekerja di pejabat, pilih tali leher yang kecil dan ringkas, contohnya ‘skinny tie’.


‘SKINNY tie’ perlu jadi pilihan.

Untuk gadis pula, pilih beg bersaiz kecil yang tidak terlalu lebar dan bagi mereka gemarkan beg galas, pastikan saiznya sederhana .

Bukan apa, beg terlalu besar dikhuatiri menenggelamkan badan anda yang kecil itu!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 2:47 AM