MOHD Azrul menunjukkan botol Coca-Cola edisi David Guetta.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Minat terhadap Coca-Cola mendorong pemandu peribadi, Mohd Azrul Ghazally mengumpul tin dan botol minuman berkenaan sejak tujuh tahun lalu.

Mohd Azrul berkata, pada mulanya, dia sekadar mengumpul untuk suka-suka dan hobi tapi kini menjadi punca pendapatan sampingan.

Bercerita lanjut, Mohd Azrul berkata, koleksi kepunyaannya itu dibeli di portal jualan dalam talian dan ada juga yang dikirim rakan yang melancong di luar negara.

“Saya mula tertarik untuk mengumpul tin dan botol minuman berkenaan selepas melihat koleksi rakan yang juga pengumpul barangan berkenaan.

“Sejak itu, timbul minat untuk mengumpul barangan berkenaan dan tin minuman Coca-Cola edisi Piala Dunia adalah koleksi pertama yang dibeli daripada portal ebay dengan harga RM30.

“Rasa puas bila dapat membeli tin minuman berkenaan ketika itu dan ia antara sebab saya menambah koleksi yang ada,” katanya yang menetap di Kampung Paya Jaras Tengah, Sungai Buloh, Selangor.

Menurut Mohd Azrul, boleh dikatakan, kira-kira RM250 dibelanjakannya setiap bulan untuk membeli tin dan botol minuman berkenaan.


MOHD Azrul bersama koleksi tin dan botol minuman Coca-Cola kepunyaannya.

Mohd Azrul berkata, nilai itu mungkin besar bagi bukan peminat pemina i tidak baginya yang menganggap satu kepuasan dan bukan pembaziran.

“Apa yang membuatkan saya tertarik dengan tin dan botol minuman Coca-Cola adalah tulisannya yang berbeza mengikut negara serta tempat pengeluaran.

“Selain itu, ia juga istimewa kerana terdapat edisi terhad yang hanya dikeluarkan ketika kejohanan sukan atau khas untuk selebriti tertentu.

“Sebab itu, saya gemar mengumpul dan sanggup meminta pertolongan rakan yang melancong di luar negara untuk membelikannya ,” katanya.

Mohd Azrul berkata, dia masih mengumpul tin dan botol minuman berkenaan cuma lebih aktif menjual koleksi di media sosial.

Menurut Mohd Azrul, percubaannya itu tidak sia-sia kerana ramai berminat membelinya, malah barangan berkenaan sememangnya mempunyai kelompok peminat yang tersendiri.


KOLEKSI tin dan botol minuman Coca- Cola milik Mohd Azrul.

“Pada mulanya, saya agak keberatan untuk menjual koleksi yang ada tetapi terpaksa kerana memerlukan wang ketika itu.

“Lagipun, koleksi ketika itu terlalu banyak dan daripada disimpan, lebih baik menjualnya kepada yang berminat.

“Cuma bukan semua dijual, masih ada yang disimpan di rak rumah sebagai perhiasan dan koleksi peribadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:20 PM