AMIRUL
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Kreatif bereksperimen dan ingin tampilkan sesuatu yang berbeza mendorong artis muda ini meneroka pelbagai jenis medium.

Artis seni halus dengan pengkhususan pada lukisan, Amirul Alwi, 25, berkata, dia tidak mahu tertumpu pada medium cat dan kanvas saja sebaliknya lebih gemar mengetengahkan medium bersesuaian mengikut topik serta idea yang ingin dizahirkan.

“Kebiasaannya, saya akan jana idea kemudian buat kajian sebelum menentukan medium bersesuaian.

“Sebelum ini, saya pernah menghasilkan karya menggunakan medium digital seperti video. Hasil kerja tangan itu membabitkan topik pesakit mental dan ketika itu saya yakin video medium paling sesuai.

“Skop lukisan sebenarnya meluas dan saya tidak suka tumpu pada satu gaya atau konsep saja kerana mahu teroka lebih banyak potensi dalam cabang seni halus ini,” katanya yang juga lulusan Ijazah Sarjana Muda Seni Halus pengkhususan lukisan dari Universiti Sains Malaysia (USM).


AMIRUL gemar bereksperimen dengan pelbagai jenis medium dan terbaru, cuba menampilkan karya campuran media dalam pameran solo.

Artis muda berasal dari Johor ini juga teliti dan kreatif menghasilkan koleksi karya untuk pameran solo pertamanya.

Pameran solo diberi nama ‘The Heart of Mathematics’ adalah inisiatif Project Room G13 bertujuan mempromosi bakat baru selain memperkenalkan kerja artistik serta inovatif.

Amirul berkata, sekitar lima bulan diperuntukkan untuk menghasilkan koleksi pameran solo itu.

“Persediaan untuk hasilkan karya pameran solo memang agak lama kerana saya perlu buat kajian sebelum tentukan teknik dan medium yang tepat untuk projek ini.

“Untuk karya kali ini saya tampilkan campuran media iaitu papan lapis, paku, benang, cat minyak dan cat air.

“Antara cabaran yang perlu dihadapi adalah untuk memotong papan lapis kerana perlu kemas dan teliti. Papan lapis adalah medium utama jadi proses penghasilan ini agak mencabar dan memakan masa,” katanya.


SEBANYAK lapan karya diketengahkan dalam ruang pameran G13 Project Room di Galeri G13 sehingga 14 Oktober ini.

Mendapat inspirasi dari alam semula jadi, Amirul mengetengahkan corak geometri sebagai elemen utama dalam karyanya kali ini.

“Corak geometri ada di sekeliling kita dan antara yang menarik perhatian saya adalah corak pusaran (spiral). Pusaran boleh dilihat pada pusingan galaksi, pusingan bumi malah, cap jari kita juga mempunyai corak berpusar,” katanya.

Sebanyak lapan karya dipamerkan dan semua hasil kerja tangan Amirul menampilkan tona mono atau tunggal.


KARYA yang ditampilkan dalam pameran solo pertama ini diinspirasi daripada bentuk geometri.

“Bagi siri atau koleksi kali ini, sebagai permulaan saya ingin fokus diberikan terhadap proses karya itu sendiri. Jadi, saya hanya ketengahkan warna putih dan hitam kerana tidak mahu tonjolkan elemen warna,” katanya.

Bagi yang berminat untuk melihat kerja tangan Amirul boleh berkunjung ke Galeri G13 di Kelana Jaya dan pameran berlangsung sehingga 14 Oktober ini.

Layari www.facebook.com/G13gallery untuk maklumat lanjut.

PAMERAN THE HEART OF MATHEMATICS

• Artis: Amirul Alwi

• Jumlah karya: 8 lukisan

• Tarikh: Sehingga 14 Oktober 2017

• Waktu: 11 pagi hingga 5 petang (tutup Ahad dan cuti umum)

• Lokasi: Galeri G13, Tingkat Bawah Blok B, Kelana Square, Kelana Jaya, Selangor

• FB: www.facebook.com/G13gallery

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:06 PM