Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Jejaka kini semakin bijak bergaya malah sudah ramai yang mempunyai kesedaran untuk menjaga penampilan diri.

Namun, tidak semua menjadi kerana ada juga yang berusaha ke arah itu tetapi akhirnya nampak keterlaluan hingga boleh dilabel sebagai mangsa fesyen.

Tidak kurang juga yang ambil mudah dan pakai sembarangan tanpa tahu membezakan gaya mereka untuk ke acara formal atau santai.

Benar, cantik atau buruk penampilan seseorang itu subjektif tetapi janganlah sampai ia ketara silapnya di mata orang lain.

Untuk itu, Gen Y senaraikan lima kesalahan yang kerap dilakukan jejaka dalam berfesyen:

Beli tanpa rujukan

Bukan mahu seksis tetapi lelaki selalunya tiada rujukan dalam menentukan gaya mereka.

Akhirnya, mereka akan masuk ke kedai atau butik pakaian dan beli apa saja yang dirasakan selesa dipakai.

Sedangkan, ia tidak kena dan di situlah pentingnya rujukan.

Jadi, jangan malas dan cuba luangkan masa dengan membuat rujukan di Internet. Bukankah kini semuanya di hujung jari?

Pakai berulang kali

Ini tabiat paling sinonim dengan lelaki namun tanpa disedari, mereka sudah tergolong dalam kategori pengotor!

Alasan mereka adalah pakaian itu masih bersih dan jika kita lihat, denim antara helaian yang kerap dipakai berulang kali tetapi malas dicuci.

Buang tabiat ini dan cuba biasakan untuk mengganti seluar atau pakaian harian anda.

Jika ada wang lebih, beli seluar baru jadi tidaklah anda pakai denim yang sama berulang kali.

Tidak kena dengan potongan badan

Ukur baju di badan sendiri adalah ungkapan tepat bagi mengingatkan jejaka supaya lebih teliti sebelum membeli pakaian atau seluar.

Meskipun bertubuh kecil, jangan pula anda memakai baju terlalu besar.

Manakala, elakkan baju potongan lekap tubuh jika anda bertubuh besar atau mempunyai perut buncit.

Dalam berfesyen, bukan saja perlu suai padan tetapi penting untuk sorokkan kekurangan diri!

Padanan pelik

Usaha untuk menyuai padan itu mungkin sudah ada tetapi kelihatan tidak kena kerana kurangnya pengetahuan mengenai fesyen.

Langkah selamat adalah tampil bersederhana atau minta pendapat daripada teman atau kenalan perempuan yang arif.

Tidak salah untuk menyuai padan tetapi biarlah hasilnya sedap mata memandang.

Jangan kerana ghairah tampil bergaya tetapi akhirnya anda pula ditertawakan!

Warna sama

Ini perkara biasa bagi mereka yang tidak berani atau gemar mencuba.

Jika hitam adalah warna kegemaran, rona pakaian itu yang akan dipakai berulang kali.

Sama juga dengan warna lain dengan alasan tidak mahu keterlaluan.

Jangan silap, lelaki juga boleh memakai warna terang atau pastel dengan syarat bijak menggayakannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 2:08 AM