NUR Faezah (kiri) bergambar dengan rakan ketika majlis kenaikan tali pinggang taekwondo.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Meskipun banyak produk makanan tambahan dijual di pasaran, Nur Faezah Mohamad Nor, 18, tetap mengamalkan petua ‘orang dulu’ menerusi pengambilan jamu tradisional.

Nur Faezah berkata, jamu itu dihasilkan sendiri oleh neneknya dan mula diamalkan sejak dua tahun lalu.

Menurut Nur Faezah, perasaan ragu-ragu untuk mencuba itu ada cuma pada peringkat awal saja tetapi dapat membiasakan diri selepas merasai sendiri kesannya pada tubuh badan.

“Saya aktif bersukan ketika di sekolah dan itu antara sebab ibu menyarankan pengambilan jamu yang dihasilkan nenek.

“Sebelum mencubanya, saya dapatkan nasihat daripada ibu dan yakin kerana dia sendiri mengamalkannya sejak usia remaja.

“Lagipun, nenek yang menghasilkannya dan saya bertambah yakin kerana ia diadun dengan ramuan tradisional,” katanya yang juga anak keenam daripada tujuh beradik.


NUR Faezah (kiri) bersama adik-beradik dan ibu (tengah) yang menyarankannya untuk mengamalkan jamu.

Pelajar Asasi Sains Kolej Matrikulasi Gambang, Pahang ini berkata, sehingga kini, dia masih mengamalkan pengambilan jamu walaupun tidak konsisten seperti dulu.

Baginya, jamu amat membantunya mengekalkan tenaga dan stamina walaupun ketika sibuk dengan urusan seharian.

“Saya tidaklah obses atau bergantung 100 peratus terhadap jamu.

“Namun, tidak salah untuk mengamalkannya lebih-lebih lagi pada usia muda.

“Sekarang mungkin tidak nampak hasilnya tetapi saya yakin ia membantu dalam tempoh jangka panjang,” katanya.


NUR Faezah (kiri) bersama rakannya.

Nur Faezah berkata, meskipun mengamalkan jamu, dia tidak menolak keberkesanan produk yang dijual di pasaran.

Bagaimanapun, buat masa ini, dia selesa mengikut jejak langkah serta amalan turun- temurun ibu dan neneknya.

“Terpulang kepada masing-masing sama ada untuk mengikut cara tradisional atau moden kerana ia adalah pilihan.

“Cuma, saya memilih jamu kerana sukakan makanan tambahan berasaskan semula jadi.

“Siapa tahu, apabila berusia nanti, saya boleh jadi seperti nenek yang sihat dan mampu keluar berkebun sehingga ke hari ini hasil pengambilan makanan diperbuat daripada ramuan tradisional,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 3:20 AM