Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Oktober membawakan lebih banyak permainan video yang dinanti-nanti selama ini. Nama besar seperti Bethesda dan Ubisoft tidak ketinggalan memperkenalkan projek terbaru mereka.

The Evil Within 2 (13 Oktober)

Awal tahun ini, kita dikejutkan dengan satu lagi judul terbaru Resident Evil yang menyeramkan dan kembali kepada formula asal dengan membuang elemen aksi sepenuhnya.

Bagaimanapun, pereka asal Resident Evil, Shinji Mikami sudah lama meninggalkan Capcom untuk memulakan projek baru iaitu The Evil Within.

Keluaran pertama boleh dikatakan menggambarkan bagaimana Resident Evil 5 sepatutnya dibangunkan.

Ia seram, ada sedikit aksi dan mekanisme permainan yang patut dipuji.

Kali ini, protagonisnya Sebastian Castellanos kembali untuk menyelamatkan anaknya. Ia lebih ‘dark’ dan mengembalikan beberapa imbasan lalu. Meneruskan gaya permainan Resident Evil 4, peminat pasti menyukai keluaran kedua The Evil Within ini yang akan menjengah pasaran tidak lama lagi!

Middle Earth: Shadow of War (10 Oktober)

Permainan ini sememangnya dinanti-nantikan sekian lama selepas mendapat sambutan hangat daripada pemain pada keluaran pertama tiga tahun dulu.

Meminjam elemen novel Lord of the Ring, ia menceritakan kembara Talion dan Celembrimbor yang kini mempunyai kuasa daripada Ring of Power untuk menjelmakan bala tentera bagi menentang Sauron.

Melalui konsep dunia terbuka, permainan ini mengetengahkan ciri baru dalam sistem Nemesis iaitu pengikut. Sistem ini membolehkan anda berinteraksi dengan mereka selain memberikan kelengkapan lebih kuat.

Mod baru iaitu Social Conquest turut diperkenalkan untuk memberikan cabaran kepada pemain menakluk istana pihak lawan dengan risiko tinggi kehilangan pengikut buat selama-lamanya.

South Park: The Fractured but Whole (17 Oktober)

Dalam pada itu, Ubisoft dengan kerjasama South Park Digital Studios membangunkan permainan ini yang berpaksi kepada genre ‘role-playing’ (RPG).

Ia menampilkan dua belas kelas superhero antaranya ‘Elementalist’ dan ‘Gadgeteer’. Lain daripada keluaran sebelumnya, pemain boleh memilih jantina diinginkan selain warna kulit.

Selain dibekalkan pelbagai kuasa istimewa, karakter anda akan menempuh perjalanan sukar menentang manusia dewasa yang berniat jahat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2017 @ 1:43 AM