KERJA tangan Khiddir sinonim dengan garisan dan warna yang terang.
ARTIS muda yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini serius membina kerjaya dalam bidang seni.
KHIDDIR(kanan) dan mentornya Fritilldea bersama rekaan yang dihasilkan untuk peringkat akhir
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Minat yang mendalam pada kartun dan komik mendorong anak muda ini tidak berfikir dua kali melangkah ke dalam bidang seni halus.

Bagi Mohamad Khiddir Mohd Baharudin, 27, membesar dalam keluarga kreatif turut mendorongnya melebarkan kerjaya sebagai artis dan pelukis ilustrasi sepenuh masa.

“Ibu bapa pencinta seni dan mereka menghargai serta menyokong hasil kerja tangan saya. Jadi, itu turut mendorong saya untuk terus menghasilkan yang terbaik dalam setiap karya,” katanya yang memiliki studio ‘The Canteen’ di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Giat menghasilkan lukisan skala besar di atas kanvas, Khiddir turut menghasilkan ilustrasi digital untuk ‘Collectors Market’ dengan kolaborasi Galeri Dumpster di Kuala Lumpur.

Namun, 2017 menjadi titik permulaan dan penanda aras baru bagi perjalanan kerjaya artis muda yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini kerana berjaya menjejakkan kaki ke Shanghai, China.

Artis berbakat berijazah dalam bidang ilustrasi itu melangkah setapak lagi ke platform baru apabila menyertai pertandingan Vans Asia Custom Culture yang membuka tirai pada April lalu.

Menerusi pertandingan julung kali diadakan di Asia itu, Khiddir mempertaruhkan rekaan kasut yang menggambarkan suasana Malaysia sekitar 60-an.

Hasil kerja tangan diberi nama ‘Transporting Malaya’ itu membawanya ke peringkat akhir dan bersaing dengan barisan finalis dari Korea, Hong Kong, China, Singapura dan India.

Khiddir berkata, rekaan buatan tangan yang direka dengan teliti itu menggambarkan keunikan budaya Malaysia.

“Saya banyak luangkan masa untuk berfikir, menjana idea dan membuat kajian untuk menzahirkan inspirasi bagi menghasilkan kasut ini.

“Fokus rekaan kasut adalah rakyat Malaysia dan pengangkutan dengan latar suasana pada era 50-an dan 60-an.

“Pengangkutan diangkat sebagai subjek kerana saya mahu orang membayangkan kasut sebagai pengangkutan untuk bergerak ke mana saja,” katanya.

Katanya, pengangkutan juga digambarkan sebagai platform perpaduan di negara ini.

“Saya sering menggunakan pengangkutan awam dan dari itu saya sedar ramai individu berbeza kaum dan agama duduk dalam satu pengangkutan yang sama.

“Secara tidak langsung, kita sebenarnya membina hubungan dengan satu sama lain dengan duduk dalam pengangkutan yang sama, bercakap dan bertanya.

“Jadi, saya percaya pengangkutan turut menjadi medium mewujudkan keharmonian dan menyatukan rakyat Malaysia,” katanya.

Menariknya, karya Khiddir turut memberi penekanan pada elemen garisan selain mempertaruhkan warna terang dan berani.

“Saya obses dengan garisan dan pada masa yang sama suka ketengahkan warna terang, kontras serta pop dalam karya,” katanya.

Khiddir turut berkongsi perasaan teruja dan gementar selepas terpilih sebagai finalis.

“Saya tahu Vans adalah jenama global tersohor jadi, ini adalah peluang keemasan untuk membawa ilustrasi saya satu langkah ke hadapan.

“Saya berharap satu hari nanti Vans dapat merealisasikan kerja seni dalam bentuk keluaran kasut sebenar seperti keluaran ‘Vans x Charlie Brown Peanuts’,” katanya.

Khiddir turut mengajak rakyat Malaysia membantunya merebut gelaran pemenang bagi membolehkannya terbang ke London, United Kongdom.

“Saya perlukan bantuan rakyat Malaysia untuk realisasikan impian iaitu keluaran kasut hasil kerja tangan dalam pasaran Asia tahun hadapan serta kunjungan ke House of Vans, London.

“Dari 25 September hingga 4 Oktober ini adalah proses pengundian peringkat akhir dan saya perlu bantuan anda mengundi rekaan terbaru yang dihasilkan di Shanghai hasil bantuan mentor Fritilldea. Jumlah undian mewakili 30 peratus bagi keseluruhan markah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 8:36 AM