EDAN idam beraksi di Sukan SEA 2.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Penyertaan dalam acara larian amal maraton di Singapura enam tahun lalu menjadi titik permulaan Mohd Syahidan Alias, 30, terbabit dengan sukan berkenaan.

Mohd Syahidan atau lebih mesra dengan panggilan Edan berkata, selain minat, pemergian ibu tercinta akibat barah paru-paru antara sebab yang mendorongnya turut serta dalam larian maraton di republik itu walaupun mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang seni reka grafik.

Menurut Edan, keluarga tidak begitu menyokong pembabitannya pada peringkat awal tetapi menerimanya selepas melihat kesungguhan dan pencapaiannya termasuk ketika menyertai kejohanan di luar negara.


EDAN gemar berlari sejak belajar.

“Sejak di kampus lagi saya gemar berlari tetapi mula serius tiga tahun kemudian iaitu selepas menyertai Chartered Singapore Marathon 2011 yang membabitkan jarak 42 kilometer (km).

“Ketika itu, saya menamatkan larian dengan catatan masa tiga jam tujuh minit dan kerana mahu memperbaiki prestasi, saya tekad mengambil bahagian pada tahun berikutnya .

“Paling tidak dapat dilupakan apabila terpilih menjadi seorang peserta daripada 30,000 pelari yang turut serta dalam acara maraton tertua di dunia iaitu Boston Marathon US pada April 2015 dan perlu mengharungi larian ketika hujan dengan suhu empat darjah Celsius ,” kata anak ketiga daripada enam beradik ini.

Di sebalik peluang keemasan yang diterimanya untuk bersaing di luar negara, Edan turut berdepan cabaran sepanjang pembabitannya dalam sukan maraton.

Antara cabaran utamanya adalah menjalani latihan berseorangan tanpa bimbingan daripada jurulatih profesional selain mendapatkan tajaan menyertai acara di luar negara.


EDAN menjalani latihan taanpa bimbingan jurulatih.

“Saya bukan daripada keluarga senang jadi agak sukar untuk bertapak dalam sukan ini malah pernah tiada duit untuk membeli kasut larian.

“Namun, perkenalan dengan Pengurus Smart Atheletics Club (SAC) Jolene Hong akhirnya membuka jalan untuk saya bergiat aktif malah dia banyak membantu termasuk dalam mencari dana yang diperlukan bagi menyertai kejohanan.

“Bukan setakat itu, Jolene juga individu yang memberi kepercayaan untuk bekerja dengannya selepas tamat pengajian bermula sebagai pembantu kedai dan kini diberi tanggungjawab menjadi ketua jurulatih di SAC,” katanya yang gemar menghabiskan masa terluang dengan melukis.

Edan berkata, meskipun impian mewakili negara dalam temasya Sukan SEA yang lalu tidak kesampaian, dia akan terus berusaha merebut peluang itu pada masa akan datang.


AKSI Edan ketika menyertai kejohanan maraton.

Pada masa sama, Edan berkata, tanggungjawabnya untuk melahirkan pelapis acara maraton juga diteruskan dengan adanya SAC yang membuka platform kepada orang awam untuk mendapatkan bimbingan.

“Kepuasan menyertai maraton ini tidak hanya dengan mendapat catatan masa yang baik atau kemenangan dalam kejohanan dipertandingkan tetapi apabila berpeluang menggilap potensi bakat baru.

“Itu yang cuba saya lakukan kini dan siapa tahu, mereka dapat menyambung impian saya beraksi di Sukan SEA atau peringkat lebih tinggi andai ia tidak menjadi kenyataan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 September 2017 @ 1:57 AM