Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Topi sinonim dengan gaya santai dan ‘sporty’ malah aksesori itu ibarat benda wajib ada dalam koleksi penggemar fesyen.

Namun, jangan salah sangka kerana topi cukup universal dan boleh digayakan semua termasuk golongan hijabista.

Tidak timbul soal janggal jika hijabista mengenakan topi dengan syarat mereka bijak menyuai padan bersama tudung dan ‘outfit’ yang dipakai.

Jadi, jangan takut mencuba kerana padanan topi dan hijab ini memang sesuai lebih-lebih lagi untuk remaja yang mahu kelihatan bergaya tetapi kekal dengan imej Muslimah.

Cuma, ada lima perkara yang perlu diambil kira sebelum tampil melaram dengan topi:

Warna

Untuk ‘bermain selamat’, pakai tudung berwarna hitam atau putih yang lebih mudah disuai padan dengan pelbagai warna topi.

Jika tidak pun, pilih warna senada atau kontra tetapi masih sesuai contohnya padanan merah dan hitam.

Jangan pilih warna sembarangan melainkan anda memang ingin tampil berbeza!

Gaya tudung

Memadai dengan gaya ringkas tanpa banyak lilitan kerana sudah ada topi sebagai aksesori pelengkap gaya.

Elakkan memakai topi bersama turban kerana akan menyebabkan kepala anda kelihatan lebih besar.

Jangan risau kerana banyak contoh gaya di Internet dan majalah fesyen Muslimah yang boleh dijadikan rujukan.

Material tudung

Gunakan tudung dengan material sifon yang lebih sesuai untuk digayakan bersama topi .

Tudung jenis itu tidak panas malah selesa untuk pemakai terutama yang terdedah di luar sepanjang hari.

Ingat, selain nampak bergaya, keselesaan adalah perkara yang paling penting!

Pakaian

Gaya minimalis cukup sesuai untuk mereka yang mahu menggayakan tudung bersama topi.

Ini penting supaya anda tidak nampak keterlaluan, jadi jika topi berona pastel, cuba padankan dengan pakaian berona terang.

Begitu juga dengan topi berona gelap yang sesuai dengan pakaian warna lembut untuk nampak seimbang.

Jenis topi

Topi jenis bulat yang lebar sesuai digayakan golongan berhijab malah ia menjadikan pemakainya kelihatan ‘chic’ dan sofistikated.

Topi dengan diameter yang lebar itu juga menjadikan bentuk muka pemakai kelihatan lebih kecil selain melindungi daripada sinaran matahari.

Namun, topi itu lebih sesuai dipakai ketika melancong atau bersiar di pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2017 @ 12:00 AM