ANTARA koleksi beg kepunyaan Zairul.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Pengalaman mengembara ke luar negara bukan hanya memberi kesempatan untuk Zairul Ermady Mohd Shahali mengenali budaya masyarakat luar tetapi rasa ingin tahu mengenai sejarah kewujudan sesebuah syarikat penerbangan.

Daripada situ, timbul pula minat untuk mengumpul cawan dan beg keluaran pelbagai syarikat penerbangan termasuk Penerbangan Malaysia.

Menurut Zairul, minat itu bermula selepas dia menemui beg silang syarikat itu ketika berjalan di Dusseldorf, antara bazar karat tertua di Jerman.


ANTARA koleksi beg kepunyaan Zairul.

“Saya memang kerap mengembara, kadangkala semata-mata untuk melancong dan adakalanya kerana urusan kerja.

“Jadi, saya berpengalaman menaiki pesawat daripada pelbagai syarikat penerbangan yang secara tidak langsung memberi peluang mengetahui lebih lanjut mengenai sejarah organisasi itu.

“Pada mulanya sekadar untuk pengetahuan sendiri namun minat itu semakin bertambah hingga timbul keinginan mengumpul beg dan barang lain seperti cawan keluaran syarikat penerbangan yang melambangkan identiti sesebuah negara,” katanya.

Zairul berkata, kebanyakan beg berkenaan didapati daripada kedai antik, barang terpakai dan portal jualan dalam talian dengan harga antara RM40 sehingga RM200 seunit.


PENGALAMAN mengembara mendorong Zairul mengumpul beg dan barangan keluaran syarikat penerbangan.

Katanya, harga beg bergantung kepada kualiti dan lebih mahal jika keadaannya masih baik daripada koleksi vintaj serta ‘rare’.

“Saya mempunyai beberapa rakan pengumpul jadi mereka akan menghubungi saya jika menemui beg atau barangan berkaitan syarikat penerbangan.

“Selain Penerbangan Malaysia, saya juga mengumpul beg keluaran British Airways, Pan Am, America Airlines, United Airlines, Japan Airlines, Air New Zealand dan Korean Airlines serta beberapa agensi pelancongan sejak 1960 sehingga 1980-an.


ANTARA koleksi beg kepunyaan Zairul.

“Sebahagiannya masih dalam simpanan tetapi ada juga yang sudah dijual kepada mereka yang berminat,” katanya.

Zairul berkata, selain mengumpul dia turut aktif menyertai beberapa acara antaranya pameran barangan vintaj dan antik.

Katanya, selain mempamerkan koleksi peribadi, penyertaan dalam acara itu dijadikan platform menjual beg yang ada kepada pengumpul.

“Selepas sekian lama mengumpul, saya membuat keputusan menjual sebahagian koleksi yang ada kerana tahu beg berkenaan mempunyai peminatnya.


SEORANG pelanggan Zairul.

“Bagi saya, daripada tersimpan begitu saja, lebih baik ia dijual kepada mereka yang benar-benar minat dan menghargainya.

“Saya yakin mereka dapat menjaganya dengan baik malah puas setiap kali melihat reaksi pelanggan selepas mendapat beg yang kebanyakannya berusia antara 40 hingga 60 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 1:20 AM