ANTARA peserta bertanding dalam FIFA 17.
ANTARA peserta bertanding.
HAFIZUDDIN bersama isteri.
PASUKAN CSGO, GoodFellas dari Brunei.
Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Pertama kali diterbangkan ke Sabah untuk melihat sendiri bagaimana kejohanan e-sukan dianjurkan, penulis akui sambutannya sama saja seperti di Semenanjung. Cukup meriah.

Hari pertama di Centre Point, Kota Kinabalu, Sabah membawa penulis menyaksikan kejohanan Borneo e-Arena yang dianjurkan oleh Puncak Niaga Maju (PNM) Ideas dengan kerjasama Gamesbond.

Kejohanan itu mempertandingkan lima permainan video kegilaan anak muda iaitu Counter Strike: Global Offensive, Dota 2, Mobile Legends, Tekken 7 dan FIFA 17 dengan hadiah wang tunai terkumpul RM150,000.

Boleh dikatakan suasana dalam pusat beli-belah itu cukup meriah dengan kehadiran pengunjung. Lebih menarik, ia antara kejohanan e-sukan terbesar pernah dianjurkan di Negeri Di Bawah Bayu itu.

Bersyukur bergelar juara

Perhatian penulis tertumpu kepada pertandingan CS:GO yang menampilkan pasukan dari Brunei, GoodFellas.

Berpeluang menemu bual seorang pemainnya, Kamil Faizzin, 28, berkata, dia sangat bersyukur kerana dapat bertanding di Malaysia.

“Sebagai pemain profesional, peluang lebih cerah di Malaysia kerana di sini e-sukan menyediakan hadiah wang tunai lumayan selain mendapat sokongan kerajaan” katanya.

Kamil berkata, dia berharap kerajaan Brunei akan memberikan sokongan dengan menubuhkan badan kerajaan yang bertanggungjawab ke atas perkembangan industri e-sukan di negara itu.

Katanya, dia dan ahli pasukannya berharap lebih banyak kejohanan CS:GO bertaraf Asia Tenggara dianjurkan bagi mewujudkan persaingan lebih kompetitif di rantau itu.

Sementara itu, pemenang bagi kategori FIFA 17, Hafizuddin Abdul Puhat, 25, melahirkan rasa teruja dan bersyukur apabila namanya diumumkan juara.

“Ini kejayaan terbesar saya sepanjang tujuh tahun menjadi pemain profesional FIFA.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana sentiasa mendapat sokongan insan tersayang iaitu isteri, keluarga dan kawan,” katanya.

Pergiat usaha

Pengarah Urusan PNM Ideas Muhamad Arif Omar, 32, berkata, pihaknya berminat menganjurkan kejohanan e-sukan di Sabah kerana tertarik dengan komunitinya.

“Komuniti remaja yang bermain ‘game’ di sini sangat besar jadi ini adalah saat sesuai untuk menjadikan kejohanan ini platform bagi mereka menonjolkan bakat.

“Malahan, sekarang ini Mobile Legends mendapat sambutan hangat di sini. Oleh itu, permainan mudah alih ini menyediakan hadiah wang tunai lebih besar berbanding Dota 2,” katanya.

Arif berkata, Borneo e-Arena akan turut menjadi kejohanan tahunan dengan pengisian lebih menarik antaranya memfokuskan pada bidang kerjaya.

“Kami akan mengetengahkan konsep acara berbeza dengan turut menyediakan pameran kerjaya khususnya dalam bidang pembangunan ‘game’ di Malaysia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 12:15 AM