BANYAK hasilkan komik dan ilustrasi berunsur dakwah dan keagamaan bagi memberi faedah kepada pembaca dan pengikutnya.
BERMULA dengan genre seram dan ngeri kini Nur Izzati bertukar kepada penghasilan komik komedi dan berunsur dakwah.
TURUT aktif menghasilkan doodle dan muat naik di Instagram.
NUR Izzati
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Memiliki jumlah pengikut sekitar 38,000, gadis muda ini menarik perhatian ramai dengan memuat naik karya komik strip kreatif di Instagram.

Menurut Nur Izzati Mohamad Azizi, 19, komik pertama dimuat naik pada 13 Ogos tahun lalu mengetengahkan genre seram dan ngeri.

“Pada awalnya, saya banyak hasilkan komik strip yang seram dengan lukisan mengerikan seperti tangan terpotong dan limpahan darah.

“Rata-rata pengikut ketika itu turut memberi maklum balas positif dan mereka menggemari jalan cerita serta genre seperti itu.

“Sejak itu hasil kerja saya semakin dikenali di samping akaun Instagram terkemuka mula memperkenal dan mempromosikan karya komik saya,” katanya.

Selepas beberapa minggu, Nur Izzati memperkenalkan pula komik strip dengan genre komedi dan dakwah selepas menghentikan penghasilan komik seram.

“Pada awalnya, tak pernah terfikir untuk hasilkan komik berunsur komedi dan keagamaan tapi secara tiba-tiba hati saya tergerak.

“Komik menjadi bahan bacaan untuk semua peringkat umur jadi, mungkin ada antara pengikut saya di bawah umur atau masih kecil dan tidak sesuai dengan genre seperti itu.

“Tambahan, saya rasa komik seperti itu hanya memberi hiburan semata-mata dan tidak bermanfaat. Saya juga bimbang ia memberi keburukan kepada diri saya dan pembaca kelak jadi saya hentikan secara serta-merta,” katanya yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan.

Anak keempat daripada lapan beradik ini juga berkata, walaupun sukar untuk memadam komik seram yang sudah dimuat naik tapi dia memandang ke arah positif dan fokus menghasilkan lebih banyak komik strip yang baru.

“Kebanyakan pengikut juga tertanya-tanya mengapa saya padam dan berhenti hasilkan komik seram kerana ada sesetengah daripada mereka pengikut setia.

“Saya terangkan dengan baik dan mereka dapat menerimanya dengan positif serta masih mengikuti saya sehingga kini,” katanya.

Gemar melukis sejak kecil, Nur Izzati berkata, dia mula dengan melukis karakter kartun menggunakan kaedah dan medium konvensional.

“Awalnya, saya lukis menggunakan pensel dan kertas kemudian ‘snap’ gambar menggunakan telefon pintar sebelum memuat naik di Instagram.

“Saya sering meninjau dan meneroka karya pelukis komik di Instagram dan ramai mula menghasilkan karya menggunakan medium digital.

“Saya turut tidak ketinggalan mendapat tablet Wacom agar dapat melukis menggunakan pen digital. Sejak muat turun aplikasi Medibang Paint di telefon pintar, saya terus menghasilkan komik di telefon pintar sehingga kini kerana lebih mudah dan cepat,” katanya.

Katanya, melukis menggunakan telefon pintar sedikit mencabar pada awalnya kerana dia perlu melukis menggunakan tangan tapi lama-kelamaan sudah terbiasa dan terus menggunakan peranti berkenaan.

“Melukis di telefon pintar sudah menjadi rutin dan jarang sekali saya guna medium lain kerana telefon pintar senang dibawa ke mana-mana serta lebih ‘compact’,” katanya yang juga pelajar tahun pertama pengajian fizik gunaan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai.

Walaupun sibuk dengan pengajian, itu tidak menjadi penghalang bagi Nur Izzati untuk terus menghasilkan komik.

“Kebiasaannya, jika terlampau sibuk saya akan berhenti seketika. Jika tidak, saya akan muat naik seminggu sekali ikut kelapangan masa.

“Saya akan hasilkan komik pada waktu petang atau malam sekiranya kuliah dan tugasan tidak ada pada pada hari berkenaan atau saya habiskan satu hari pada hujung minggu.

“Satu komik dan ilustrasi mengambil masa satu hari saja untuk disiapkan dan kebiasaannya saya akan muat naik pada waktu malam,” katanya.

Selain melukis komik dan ilustrasi, anak muda kelahiran Pahang ini juga banyak menghasilkan karya seni lain seperti arca saiz kecil untuk ‘keychain’ dan doodle.

Hasil lukisan doodle yang turut diketengahkan di Instagram menerusi akaun @doodlesnia.

“Sebenarnya, saya ada dua akaun Instagram dan satu lagi akaun adalah untuk saya muat naik hasil doodle yang dilukis menggunakan teknik konvensional.

“Berbeza dengan komik, doodle memerlukan lebih perincian dan konsentrasi jadi saya lebih selesa menggunakan pen atau pensel,” katanya.

Katanya lagi, dia tidak akan berhenti menghasilkan komik dan doodle pada masa hadapan walaupun sudah berkerjaya.

“Saya tidak akan berhenti walaupun sudah bekerja kerana yakin minat dan hobi ini mampu memberi sesuatu yang positif selain tidak mahu sia-siakan bakat sedia ada.

“Saya juga bercadang mewujudkan perniagaan di bawah jenama komik dan doodle sedia ada pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 September 2017 @ 12:15 AM