POROCK (kanan bawah) bersama pasukan papan selaju dari China.
POROCK Luis.
KEHEBATAN Porock bermain papan selaju ubah hidupnya 360 darjah.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Walaupun jatuh tergolek beribu kali sehingga luka tangan dan kaki, sukan lasak papan selaju atau ‘skateboard’ tetap menjadi kegemaran anak muda kelahiran Sabah ini.

Mohd Fauzi Luis, 27, atau lebih mesra disapa Porock Luis dalam kalangan komuniti papan selaju di Malaysia dan luar negara sudah membabitkan diri dalam sukan ekstrem ini sejak lapan tahun lalu.

Sentiasa mencabar diri untuk melawan rasa takut dan menguasai sesuatu ‘trick’ baru menjadikan dirinya kini bergelar antara pemain (skater) papan selaju profesional.

Porock berkata, minatnya terhadap sukan ekstrem ini tercetus apabila rakannya yang bermain papan selaju menunjukkan pelbagai aksi luar biasa dan menguji ketahanan fizikal.

“Sebenarnya, saya aktif bermain bola sepak di padang setiap petang. Kebetulan rakan bermain papan selaju di jalan raya sekitar padang sambil melakukan pelbagai aksi ekstrem, jadi saya mula berminat untuk belajar bermain papan selaju daripadanya dan menguasai ‘trick’ itu.

“Dalam jangka masa kurang setahun, saya sudah mahir meluncur dan menguasai beberapa ‘trick’ seperti Heelflip, FS Shove It dan FS 360.

“Saya mula yakin untuk beraksi di ‘pentas sebenar’ dan memasuki pertandingan papan selaju di Kota Kinabalu buat kali pertama.

“Tanpa disangka, saya meraih tempat pertama dengan mengalahkan beberapa pemain lain yang tidak kurang hebatnya dan semakin bersemangat untuk menguasai lebih banyak ‘trick’,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Katanya lagi, perasaan teruja untuk pergi ‘lebih jauh’ dalam sukan ini menyebabkan dia mengorak langkah pertama dengan merakam video dirinya melakukan ‘trick’ kegemarannya dan memuat naik di media sosial sehingga menjadi tular.

“Video itu mendapat tontonan mencecah lebih 60,000 menyebabkan nama saya dikenali dalam kalangan komuniti papan selaju dan beberapa jenama papan selaju turut menawarkan menjadi duta mereka.

“Punca video itu menjadi perhatian pemain papan selaju kerana aksi loncatan ‘gap’ yang saya lakukan bukan mudah untuk dikuasai seperti aksi lain.

“Disebabkan terlalu banyak tawaran tajaan, saya mengambil keputusan berhijrah ke Kuala Lumpur pada usia 23 tahun dan menggunakan peluang ini untuk mengukir nama di peringkat antarabangsa pula,” katanya.

Anak muda ini berkata, hidupnya berubah 360 darjah kerana kebajikan bukan saja dijaga malah mendapat tajaan kasut dan papan luncur selama beberapa tahun.

“Dalam sukan ini, wang banyak ‘dilaburkan’ untuk membeli kasut dan papan luncur baharu.

“Ini kerana setiap bulan sekali dua benda ini perlu ditukar dengan modal sekurang-kurangnya RM800. Jadi dengan tajaan dan elaun yang disediakan membuatkan saya sedikit lega serta fokus untuk mengasah bakat tanpa memikirkan soal kewangan.

“Saya terus menjalani latihan dan bermain papan luncur di jalanan sekali gus menguasai trick ‘luar biasa’ yang jarang ditonjolkan pemain lain,” katanya.

Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa tahu. Itu perumpamaan sesuai untuk tuah anak muda ini apabila dia ‘dilamar’ pula jenama kasut Vans pada 2016 sebagai atlet profesional papan selaju.

“Sejak bernaung di bawah Vans, saya lihat masa depan lebih cerah kerana diberi peluang berjumpa pemain profesional papan selaju dalam dan luar negara selain dibawa menjalani penggambaran jalanan di banyak lokasi serata dunia.

“Saya sering dijemput oleh pihak Vans dari China untuk menjalani penggambaran jalanan bermain papan selaju di beberapa lokasi sekitar China seperti Hong Kong, Shanghai, Guongzhou, She Zen, Nanjing dan Zheng Zhou bersama atlet profesional papan selaju negara itu bagi menghasilkan filem terbaru Vans.

“Filem ini mengisahkan perjalanan hidup kami sebagai atlet papan selaju dan menunjukkan ‘trick’ baru kepada peminat sukan ekstrem ini.

“Pengalaman ini dikira pencapaian terbaik setakat ini kerana hanya saya seorang pemain papan selaju dari Malaysia yang dipilih menjalani penggambaran itu.

“Selepas ini, saya mungkin akan menjalani penggambaran di Korea atau Australia namun ia masih dalam perancangan,” katanya.

Siapa sangka di sebalik minatnya terhadap sukan ekstrem papan selaju ini, Porock juga amat meminati muzik dan berkebolehan bermain beberapa instrumen.

“Saya memang suka muzik sejak kecil kerana boleh dikatakan keluarga besar saya semuanya ahli muzik.

“Dram, violin, piano dan gitar antara alat muzik yang saya mahir namun gitar adalah kegemaran utama.

“Di jalanan saya bermain papan selaju tetapi di rumah menghabiskan masa bermain gitar.

“Malah saya turut mempunyai kumpulan band yang dikenali dengan nama Orbit dan dianggotai tiga rakan yang juga bermain papan selaju.

“Bidang muzik ini saya anggap sebagai hobi kerana jika mengalami kecederaan saya akan bermain muzik semasa dalam proses pemulihan,” katanya.

Katanya, dia berharap dapat menjejakkan kaki di skate spot peringkat global dan bermain papan selaju bersama pemain profesional di Amerika Syarikat.

“Bagi saya, sukan papan selaju ini bukan sekadar sukan tetapi kerjaya yang boleh membawa pergi lebih jauh sehingga peringkat global.

“Saya tidak akan berhenti berusaha dan akan terus meningkatkan latihan serta menguasai lebih banyak ‘trick’ sukar untuk berdiri sebaris dengan pemain profesional papan selaju di Amerika Syarikat suatu hari nanti,” katanya yang sudah menguasai lebih 30 ‘trick’.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2017 @ 3:10 PM