BAJU kurung moden Tengku Noorliyana keluaran pertama Fatin Noorliyana.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Ramai remaja masa kini menjalankan perniagaan dalam talian yang mampu memberi keuntungan berlipat ganda sama ada secara sambilan atau sepenuh masa.

Peluang itu tidak dilepaskan Fatin Noorliyana Md Shari, 21, selepas bersusah payah menggilap bakat dan berjaya menaikkan nama dalam dunia peragaan walaupun masih berstatus penuntut di sebuah universiti awam.

Menyedari persaingan menerusi bidang perniagaan secara dalam talian agak sengit, Fatin Noorliyana mencabar diri mencuba sesuatu yang baru memandangkan usianya masih muda.

Gadis kelahiran Melaka ini berkata, dia nekad memulakan perniagaan menjual baju kurung moden dan kurta jenamanya sendiri, Tengku Noorliyana demi mencari pengalaman serta belajar jatuh bangun dalam bidang perniagaan.

“Minat sudah lama ada cuma idea untuk merealisasikannya tercetus awal tahun ini apabila duit simpanan hasil menjadi model sambilan sudah cukup dijadikan modal perniagaan.

“Bermodalkan RM20,000, saya mula melukis rekaan baju kurung moden dan kurta Tengku Noorliyana supaya ia dapat dijual pada hari raya. Usaha saya ternyata berbaloi apabila baju rekaan saya mendapat sambutan luar biasa dan 500 pasang habis terjual dalam masa sebulan saja.

“Awalnya saya agak risau persaingan dengan peniaga dalam talian yang lain tetapi rezeki berpihak pada saya walaupun koleksi baju kurung moden dan kurta hanya dijual menerusi Instagram @tengkunoorliyana,” kata anak keempat daripada lima beradik ini.

Katanya lagi, memang banyak cabaran yang perlu ditempuhi untuk mengorak langkah sejauh ini namun dengan berkat sokongan keluarga dia tetap bersemangat merealisasikan impiannya.

“Tinjauan saya mengenai fesyen busana raya tahun ini, baju kurung moden dan kurta menguasai trend semasa pasaran. Malah kebanyakan rekaan pakaian hampir sama menyebabkan saya bertindak bijak menggunakan kain berkualiti tinggi jenis como crepe dan organdy bagi memberi kepuasan kepada pembeli dengan harga mampu milik.

“Memandangkan koleksi Tengku Noorliyana mendapat permintaan tinggi, saya bercadang untuk mengembangkan lagi perniagaan ini dengan mengeluarkan rekaan jubah dan ready-to-wear dalam masa terdekat,” katanya.

Sering membantu operasi butik pengantin milik abang kandungnya di Melaka, Fatin Noorliyana mengambil peluang belajar menjahit, melukis rekaan busana, mengenal pasti jenis kain dan selok belok perniagaan dengan abangnya sejak tiga tahun lalu.

Fatin Noorliyana oleh dikatakan serba boleh kerana dia bukan saja mahir melukis rekaan atau memperaga pakaian malah menjahit dan berlakon.

“Sejak menjuarai pertandingan Miss Melaka 2015 bagi kategori National Costume dan Evening Dress rekaan abang saya, bakat saya menerusi bidang peragaan mula menyerlah, sekali gus menerima banyak tawaran pekerjaan.

“Namun awal tahun ini, saya terkejut apabila ditawarkan menjadi pelakon drama berepisod Perang Otai Andam bagi watak pembantu butik pengantin yang bersiaran di TV3 pada Mac lalu.

“Walaupun saya tidak pernah mempunyai pengalaman dalam bidang lakonan, saya menerima tawaran terbabit dan menggilap bakat yang terpendam selama ini dengan bantuan tunjuk ajar pelakon Sharifah Sakinah ketika di set penggambaran.

“Oleh itu, harapan saya amat besar untuk terus mengembangkan kerjaya dan perniagaan sedia ada supaya lebih kukuh. Selain itu, saya merancang membuka sebuah butik pakaian sendiri yang bertapak di Melaka dalam jangka masa lima tahun lagi,” katanya yang pernah menyertai lebih 30 pertandingan peragaan busana.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 5:06 AM