SITI Hazirah mula serius perkenal seni batik sejak 2015.
SITI Hazirah membuat persediaan mencanting batik
HASIL kerja tangan salah seorang pengunjung.
ANTARA pengunjung yang mengambil peluang dan cuba mewarnakan batik sendiri.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Walaupun tidak mempunyai latar seni halus, Siti Hazirah Aqilah Zainuddin, 25, giat mempromosikan batik sebagai produk seni.

Anak muda lulusan Diploma Seni Kraf Batik Institut Kraf Negara itu berkata, sebelum mendedahkan diri dengan cabang seni dia hanya fokus pada penghasilan batik sebagai fabrik.

“Penghasilan kain batik bukan saja rumit dan memerlukan kerja yang teliti tapi memakan masa.

“Pada 2015, saya mula kumpul modal dan mendapatkan bantuan untuk mula buat kelas melukis batik,” katanya yang berasal dari Banting, Selangor.

Katanya, kali pertama dia mempamerkan lukisan batik adalah ketika menyertai Rantai Art Festival.

“Saya mula ketengahkan batik sebagai produk seni ketika menyertai festival seni selain mendekatkan diri dengan pelukis tempatan antaranya ARTO Movement.

“Sejak itu, saya sering turut serta dalam pelbagai program dan aktiviti dan membuka ‘booth’.

“Kebiasaannya, saya akan mencanting batik dan pengunjung menyerlahkan bakat mereka dengan mewarna,” katanya.

Menerusi penyertaan dalam pelbagai acara dan mempromosikan seni batik kepada orang ramai, Siti Hazirah mendapati kebanyakan pengunjung yang mewarna batik mempunyai bakat terpendam.

“Ramai yang berkunjung ke ‘booth’ saya mewarna batik untuk pertama kali dan mereka mencuba sekadar suka-suka.

“Namun, saya dapati kebanyakan hasil tangan mereka menarik dan penuh berseni. Mereka juga tidak sangka mampu hasilkan karya batik yang cantik sebegitu.

“Sebenarnya, apabila mewarna batik kita sebenarnya berada dalam mood yang tenang jadi, bukan saja hasil kerja tangan menjadi menarik tapi dalam masa yang sama ia menjadi terapi,” katanya.

Katanya lagi, dia ingin terus memperluaskan seni batik dan bercadang membuka galeri pada masa akan datang.

“Untuk beberapa tahun ini saya ingin terus giat menyertai aktiviti dan buka booth kerana mahu terus memperjuang seni batik dan meningkat kesedaran ramai terhadap keunikan seni batik.

“Dalam tempoh lima tahun dari sekarang saya ingin buka studio dan galeri supaya seni batik ini dapat dipamerkan di ruang pameran istimewa selain mereka yang berminat dapat belajar di studio,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Julai 2017 @ 8:02 AM