ALIFF Lukhman bangga kerana berpeluang menjadi wardar penjara di usia muda.
ALIFF Lukhman aktif menyertai kejohanan bina badan pada masa lapang.
ALIFF Lukhman aktif menyertai kejohanan bina badan pada masa lapang.
ALIFF Lukhman bergambar kenangan dengan keluarga selepas tamat latihan kursus asas pegawai penjara di Maktab Penjara Malaysia Kajang.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Impiannya untuk belajar hingga ke menara gading pernah terkandas di pertengahan jalan kerana masalah kewangan namun kekangan itu tidak menyebabkan Aliff Lukhman Hakim Wahab, 27, berputus asa.

Sebaliknya, anak sulung daripada tiga beradik ini membuktikan dia boleh meringankan beban keluarga dengan hasil titik peluh sebagai wadar di Penjara Kajang, Selangor.

Aliff mengakui kerjaya itu bukanlah cita-citanya sejak kecil namun menerima tawaran pekerjaan itu demi membantu keluarga terutama ibu dan ayah.

Menurut Aliff, perasaan gementar untuk memulakan tugas sebagai wadar itu ada tetapi latihan memberi keyakinan untuk menggalas tanggungjawab.

“Saya tidak menyangka akan bekerja sebagai wardar kerana sekadar mencuba nasib dengan menghadiri temu duga yang diadakan ketika itu.

“Malah, saya tidak meletak harapan tinggi untuk terpilih kerana ramai calon yang hadir namun rezeki menyebelahi saya apabila lulus dalam temu duga berkenaan.

“Walaupun gembira, saya agak gementar untuk menerima tawaran berkenaan kerana memikirkan keadaan penjara dan kehidupan bersama banduan di dalamnya tetapi ketepikan semua itu demi mencari rezeki bagi meringankan beban keluarga,” katanya.

Bercerita lanjut, Aliff berkata, sebagai wadar, tugasnya tidak hanya memantau keadaan banduan di dalam sel tetapi juga menjadi guru serta kaunselor yang boleh membimbing mereka.

Katanya, disebabkan itu, minat, disiplin dan kesabaran amat penting bagi memastikan tugas seharian dilaksanakan sebaik mungkin.

“Tugas wadar bukan setakat menjaga banduan kerana pelbagai perkara perlu dibuat dalam satu masa.

“Selain mendisiplinkan mereka, saya dan rakan sejawatan juga menjadi guru yang membimbing mereka supaya tidak kembali melakukan kesalahan lampau.

“Pada masa sama, saya turut berperanan memberi semangat supaya mereka tidak rasa terasing apabila bebas dari penjara satu hari nanti,” katanya.

Aliff berkata,walaupun wadar bukan pekerjaan yang glamor, dia puas kerana mendapat pengalaman berharga yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Malah, dia bangga kerana menjadi antara golongan muda yang diberi peluang bekerja sebagai wadar.

“Selain kekuatan fizikal, mental juga amat penting dalam pekerjaan ini kerana kita perlu memahami dan bijak membaca pemikiran banduan.

“Jadi, disitulah cabarannya dan tak dinafikan, saya pernah tergerak hati berhenti kerja seterusnya mencari pekerjaan lain.

“Namun, saya bertukar fikiran apabila memikirkan keluarga dan sayang jika meninggalkan kerjaya yang sudah sebati dengan diri, “katanya yang turut aktif menyertai kejohanan bina badan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2017 @ 7:49 AM