KOMUNITI penuntut Malaysia di Kumamoto tidak ramai menjadikan mereka rapat dan saling bergantungan.
ADIBAH Aslah.
BERBUKA puasa di masjid bersama penduduk tempatan.
'OKASAN' menyediakan hidangan Malaysia bagi mengubat rindu penuntut Malaysia.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my


Penulis berkesempatan menemu bual komuniti penuntut Malaysia di Kumamoto, Jepun menyambut Syawal di sana.

Uniknya, setiap tahun mereka mempunyai tradisi untuk beraya dengan ‘okasan’ di perkampungan di Fukiage, Kagoshima pada minggu pertama Syawal.

Di kawasan Fukiage terdapat komuniti Jepun yang mendalami budaya Malaysia yang dipanggil Persatuan Warga Malaysia-Jepun.

Penuntut Malaysia menjadi warga tua di sana sebagai ‘okasan’ yang membawa maksud ibu angkat. Warga tua dari perkampungan itu mahir memasak hidangan tradisional Malaysia seperti rendang dan kuih-muih.

Komuniti penuntut Malaysia di Kumamoto hanya 15 orang menjadikan mereka rapat dan saling bergantungan antara satu sama lain.

Pada hari raya pertama pula, kebiasaannya mereka akan menghadiri kuliah sekiranya jatuh pada hari biasa.

Menurut penuntut Sarjana Kejuruteraan Biomedikal Universiti Kumamoto, Adibah Aslah Abd Aziz, 23, sambutan Aidilfitri di sana ternyata berbeza namun istimewa.

“Kami beruntung kerana mempunyai satu masjid besar berdekatan universiti iaitu Kumamoto Islamic Centre.

“Jadi, waktu pagi raya suasana di sini sungguh meriah dengan kehadiran umat Islam pelbagai bangsa termasuk rakyat Jepun sendiri.

“Kebiasaannya, selepas jamuan kami akan bergegas ke kuliah tapi suasana yang meriah seketika pada pagi raya mengubat rindu untuk beraya di kampung halaman,” katanya yang sudah masuk tahun ketiga beraya di tanah asing itu.

Kemeriahan dan suasana Aidilfitri juga diwujudkan dengan memakai pakaian tradisional seperti baju kurung dan baju Melayu untuk ke kuliah.

“Kami teruja ke kelas mengenakan pakaian kebangsaan. Apabila rakan bukan Islam bertanya kami akan beritahu ada perayaan.

“Biasanya mereka akan sampaikan rasa sedih kerana mengetahui keadaan kami yang tidak dapat pulang beraya dengan keluarga,” katanya.

Katanya, kewujudan masjid berdekatan juga menjadikan Ramadan mereka lebih meriah.

“Kebiasaannya, hampir setiap hari kami akan berbuka puasa dan bertarawih di masjid itu. Jadi, pada bulan puasa perbelanjaan kami juga lebih jimat selain dapat tumpu pada kuliah dan ibadah.

“Menariknya di sini, majlis berbuka puasa turut disertai bukan Islam. Bagi yang berminat mendalami Islam boleh datang ke masjid selain kita dapat mempamerkan sifat mulia sebagai Muslim,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2017 @ 12:01 AM