IKHWAN kini memiliki butik perniagaan sendiri .
MEMBERSIHKAN beg yang disimpan rapi di dalam rak jualan.
ANTARA beg berjenama yang terdapat di butiknya.
ANTARA kasut yang terdapat di butiknya.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Dari segi kelulusan, Ikhwan Arif Samsudin, 27, boleh saja memilih untuk terus bekerja sebagai jurutera namun minat terhadap bidang perniagaan mendorongnya beralih arah sekali gus meninggalkan kerjaya lama di negara matahari terbit.

Anak kelahiran Bachok, Kelantan ini berkata, sudah tiba masanya dia melakukan perkara yang memberi kepuasan walaupun sedar kemungkinan risiko pada masa depan.

Berkongsi lanjut, Ikhwan berkata, butik beg terpakai dan kasut berjenama yang diusahakannya kini dibuka selepas dia mengambil keputusan pulang ke tanah air sekitar Ogos tahun lalu selepas tujuh tahun menetap di Jepun.

“Sejak menetap di sana lagi, saya sudah mula berniaga namun lebih cenderung menjual barangan lelaki seperti topi keledar dan cermin mata ketika itu.

“Lama-kelamaan, saya sedar yang barangan wanita lebih mendapat permintaan dan sejak itu cuba belajar mengenai beg dan berjinak-jinak menjualnya sambil bekerja sebagai jurutera.

“Selepas berfikir panjang, saya nekad meletak jawatan pada tahun lalu dan kembali ke tanah air dengan membuka butik sendiri menjual kasut beg Louis Vuitton,MCM dan kasut jenama Red Wings ,” katanya yang mempunyai ijazah kejuruteraan mekanikal dari Universiti Akita, Hokkaido, Jepun.

Menurut Ikhwan, walaupun impian membuka butik sendiri sudah tercapai, dia belum cukup selesa kerana mahu mengukuhkan perniagaan yang masih hijau itu.

Katanya, berikutan itu, dia memanfaatkan sepenuhnya media sosial supaya ia menjadi medium interaksi dua hala yang efisien dengan pelanggan.

“Untuk sampai ke tahap ini tidak mudah kerana banyak perkara perlu dipelajari tambahan bagi saya yang tiada pengetahuan asas langsung mengenai beg berjenama.

“Namun, perjalanan saya sedikit dipermudahkan kerana mempunyai kemahiran bertutur dan menulis dalam bahasa Jepun jadi senang sedikit untuk berurusan dengan pembekal dari sana.

“Cuma, saya perlu sentiasa peka dan kerana itu, saya suka merujuk mereka yang berpengalaman terutama ‘otai’ dalam bidang ini,” katanya.

Ikhwan berkata, selain menambah pendapatan, dia berharap perniagaannya itu membantu penggemar mendapatkan beg dan kasut diinginkan pada harga berpatutan.

Menurut Ikhwan, dengan cara itu, tiada lagi istilah barangan berjenama hanya boleh dibeli oleh golongan elit dan orang tertentu saja.

“Dulu, orang mungkin menganggap barangan berjenama hanya dapat dilihat dan sukar dimiliki kerana faktor harga.

“Kini, saya mahu mengubah tanggapan itu dengan menjual pada harga berpatutan dan ia terbukti apabila pelanggan saya turut terdiri daripada golongan biasa walaupun ada juga yang berstatus kenamaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Jun 2017 @ 2:19 PM