MOTIF songket, potongan muat tubuh sesuai untuk remaja masa kini.
MOTIF songket, potongan muat tubuh sesuai untuk remaja masa kini.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Saban tahun, trend baju Melayu berubah dan rekaan dihasilkan pastinya mengikut peredaran fesyen semasa.

Jika dulu, baju Melayu cekak musang dan teluk belanga menguasai pasaran tetapi pilihan kini lebih pelbagai untuk jejaka terutama golongan muda.

Namun, jika tiada yang lama maka tiadalah yang baru maka elemen tradisional perlu dikekalkan bersesuaian dengan pemakai pastinya mahu kelihatan bergaya pada pagi Syawal.

Menyedari perkara itu, pereka dan pengasas Kurta Putraexlusive, Abdul Rejab Abdul Aziz tampil dengan kurta bermotifkan songket bunga tabur yang khusus untuk remaja berjiwa urban.

“Kini tidak semua golongan muda gemar memakai baju Melayu kerana ada yang lebih selesa memakai kurta bersama seluar.

“Bagi mereka, ia lebih kasual dan disebabkan itu saya hasilkan kurta sempena musim lebaran ini dengan rekaan tidak polos tetapi bermotifkan songket di bahagian dada (top) untuk menonjolkan ciri tradisional.

“Saya percaya kombinasi itu menarik dan memenuhi cita rasa fesyen remaja masa kini yang gemarkan rekaan urban tetapi ada sentuhan klasik ,” katanya.

Seiring dengan permintaan dan trend semasa, Abdul Rejab memilih potongan muat di tubuh atau slim fit bersesuaian dengan minat remaja masa kini.

Meskipun melekap di badan, kurta dihasilkannya cukup selesa dipakai biarpun ketika cuaca panas kerana berzip di bahagian dada dan diperbuat daripada gabungan material songket dan kain viscose.

“Ketika hari raya, kebanyakan kita menghabiskan masa dengan mengunjungi rumah saudara-mara dan rakan terdekat.

“Jadi, penting untuk saya mengambil kira soal material yang digunakan supaya pemakai tidak rimas dan selesa untuk berjalan sepanjang hari.

“Lebih-lebih lagi dengan cuaca sekarang yang tidak menentu, jadi rekaan ini cukup praktikal untuk mereka yang cenderung ke arah gaya kasual,” katanya.

Abdul Rejab berkata, dari segi warna pula, dia memilih empat rona untuk kurta berkenaan iaitu biru diraja, hijau zamrud, hitam keemasan dan merah.

Katanya, rona itu dipilih kerana ia bersesuaian dengan imej remaja yang ingin tampil ceria pada pagi Syawal.

“Warna pakaian memainkan peranan penting dan antara faktor empat rona itu dipilih.

“Lagipun, rona itu menyerlahkan imej remaja urban dan pastinya sesuai untuk membangkitkan suasana ceria pada hari raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 5:51 AM