ANTARA koleksi jubah.
SELESA memakai baju raya bundle sejak tujuh tahun lalu.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Ketika orang lain sibuk mencari pakaian baru untuk dipakai pada pagi 1 Syawal, Muhammad Shahril Mat Yasin, 24, pula mengambil langkah berjimat dengan memilih baju Melayu bundle (terpakai) sebagai persalinan di Aidilfitri.

Anak kelahiran negeri Cik Siti Wan Kembang ini berkata, memakai baju bundle di Aidilfitri seperti satu tradisi wajib yang dilakukannya sejak tujuh tahun lalu dan dia langsung tidak janggal meskipun tanpa memakai persalinan baru.

Menurut Muhammad Shahril, baru atau lama bukan persoalannya, yang penting dia tahu berjimat kala orang lain galak berbelanja kelengkapan raya.

“Sejak sekolah menengah, saya meminati bundle dan ia berterusan selepas tamat persekolahan.

“Bermula dari situ, saya kerap memakai bundle termasuk ketika hari raya bukan kerana tidak mahu membeli persalinan baru tetapi lebih jimat dengan cara itu.

“Lagipun, saya tidak perlu pening untuk memikirkan warna baju Melayu yang hendak dibeli atau bersesak di pusat beli-belah menjelang hari raya,” katanya yang bekerja sebagai juruteknik.

Bercerita lanjut, Muhammad Shahril berkata, selain menjimatkan wang, banyak kelebihan memakai pakaian bundle pada hari raya.

Antaranya adalah peluang memakai baju Melayu dan jubah yang unik diiimport dari luar negara.

“Ada juga yang berkualiti tinggi dan berjenama.

“Sebab itu, saya minat memakainya malah pernah membeli jubah bundle yang diimport dari Arab Saudi dan Oman untuk dipakai pada hari raya.

“Dari segi rekaan memang menarik kerana tidak sama dengan yang ada di pasaran tempatan dan bayangkan, harganya jauh lebih murah iaitu antara RM40 hingga RM50 saja bagi setiap pasang,” katanya.

Menurut Muhammad Shahril, kerana obses terhadap bundle, dia turut mengambil kesempatan dengan mengusahakan perniagaan berkenaan sebelum ini.

Katanya, perniagaan itu diusahakan kerana ada permintaan daripada mereka yang turut menggemari pakaian bundle.

“Kita tidak semestinya berbelanja besar untuk menyambut Aidilfitri sebaliknya amalan jimat cermat itu lebih baik.

“Sebab itu, saya memilih memakainya (bundle) pada hari raya dan berharap apa yang dilakukan ini menarik orang lain untuk mencuba sekali gus mengubah pandangan masyarakat terhadap pakaian bundle,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2017 @ 4:05 AM