REMAJA kongsi pengalaman bermain ‘game’ hingga ubah kehidupan mereka.

Hazril Md Nor

Gen.y@hmetro.com.my

Kita sedia maklum permainan video mempunyai kebaikan dan keburukannya.. Namun, jika menilai dari jauh tanpa pernah cuba memahami, pastinya kita tak tahu sejauh mana kebaikannya. Penulis mendekati enam anak muda bagi berkongsi pengalaman bermain ‘game’ dan manfaat diperoleh daripadanya.

CERMINAN PERSONALITI

Amirul Ariffin Ahmad Aminuddin, 23

“Bagi saya Dota 2 adalah ‘game’ paling sesuai. Mungkin bagi segelintir pemain, komunitinya dianggap ‘toksik’ tapi positifnya, setiap perlawanan memberi kepuasan kepada saya. Ini kerana apa yang saya pelajari selama ini walaupun kalah, tapi berbaloi kerana sudah berusaha sebaik mungkin untuk memenangi perlawanan.

“Saya seorang pemain kasual jadi bermain Dota 2 dianggap sebagai hiburan sekadar suka-suka. Apabila memenangi perlawanan, secara tak langsung tekanan dan masalah hilang seketika kerana berjaya mencapai objektif utama permainan itu.

“Peranan sebagai pembantu adalah pilihan saya setiap kali perlawanan. Ini kerana ia mencerminkan personaliti saya yang ceria, mudah mesra dan periang. Membantu ahli seperjuangan memenangi perlawanan ibarat berbuat kebaikan kepada kawan sendiri,” katanya.

ATASI KELEMAHAN DIRI

Sarah Syafiqa Allya ‘Azad ‘Ali, 25

“Dulu saya seorang yang kurang keyakinan diri kerana sering berada dalam industri didominasi lelaki. Kadang-kadang sampai rasa takut dilabel ‘tidak pandai main’ atau diberi panggilan ‘noob’ oleh pemain lain.

“Tapi saya anggap itu sebagai cabaran. Saya atasi ketakutan itu dengan memahami cara berkomunikasi dengan lelaki dalam permainan Destiny. Lama-kelamaan hubungan itu menjadi akrab sampaikan mereka menerima saya sebagai seorang kawan baik di dunia nyata.

“Agak lama sebenarnya mengambil masa sehingga setahun untuk asah bakat dalam permainan ini. Tapi kawan lelaki pula tak henti mengajar untuk jadi lebih mahir. Akhirnya, saya mampu main secara kompetitif dan tidak lagi rasa kekok apabila bermain ‘game’ terutama jika dikelilingi kenalan lelaki,” katanya.

TAMBAH KENALAN BARU

Mohd Hazizy Mohd Hazani, 29

“Saya memang suka berkawan termasuk di alam maya. Apabila terlalu kerap berhubung di dalam game Battlefield 1, kami menjadi kawan rapat. Pernah beberapa kali, saya mengajak mereka keluar bermain futsal atau sekadar lepak di kedai mamak eratkan silaturahim.

“Mungkin ramai tak tahu, dalam permainan itu sendiri kita boleh pikul jawatan tertentu. Sebagai contoh, sekarang saya menjadi admin untuk Freek Gaming Malaysia. Ia dikhususkan kepada peminat Battlefield 1 untuk menonton ‘livestreaming’ perlawanan antara ‘clan’.

“Walaupun seronok dan boleh bermain sehingga berjam-jam, saya tak pernah ketepikan tanggungjawab. Game itu hanya hiburan untuk hilangkan tekanan di tempat kerja tapi bukanlah sehingga mengabaikan komitmen lain yang lebih penting. Bermain game itu sebenarnya mengajar saya membahagikan masa dengan betul,” katanya.

TONJOL KEMAHIRAN DIRI

Nia Adyana, 23

“Sama seperti remaja lain, saya ingin tonjolkan kemahiran dalam sesuatu yang diminati. Salah satu caranya ialah menceburkan diri dalam permainan video FIFA. Walaupun permainan ini kebanyakannya dimainkan lelaki, ia tak menghalang saya untuk bertanding dengan mereka.

“Bagi saya, bukanlah sesuatu yang pelik apabila perempuan bermain ‘game’. Namun ada saja kawan yang memandang sinis, tapi saya tak ambil peduli semua itu. Setiap orang punya hobi berlainan dan tak perlu kita nilai mengikut jantina.

“Kerana terlalu gemar bermain FIFA, saya selalu juga menyunting video yang mempamerkan sesi permainan. Selepas menyunting, saya memuat naik video itu di laman sosial untuk tatapan rakan FB. Seronok rasanya sebab kita buat apa kita suka dan orang boleh terima,” katanya.

PELUANG ‘BUAT’ DUIT

Syamimi Haney Jaffry, 22

“Dari kecil saya gemar bermain game sehinggalah sekarang ada dua konsol di rumah. Sekadar suka-suka saja. Kawan pun memang main game termasuk tunang saya.

“Bagi saya game itu bukan sia-sia dan sekarang terdapat pelbagai cara untuk buat duit . Sekarang saya kerja separuh masa sebagai seorang streamer yang ditaja oleh syarikat aksesori komputer Taiwan. Peluang ini ibarat bulan jatuh ke riba kerana dapat reviu game dan mencuba aksesori komputer terbaru di pasaran.

“Sebagai pemain kasual, kita boleh bertukar-tukar platform, tak semestinya kekal pada satu pilihan saja. Secara peribadi saya rasa PC mempunyai pilihan game lebih banyak selain grafik memukau. Tapi jika bercerita pasal peluang buat duit, platform PC lebih menyinar dalam aspek itu,” katanya.

PELUANG ‘BELI’ PENGALAMAN

Muhammad Isyraf Lee Irwan Lee, 21

“Sejak berkecimpung dalam arena e-sukan kira-kira dua tahun lalu, ia mengajar saya banyak perkara. Ini kerana sebagai pemain profesional, bukan mudah untuk tangani tekanan. Apabila kita kalah, semestinya rasa kecewa kerana perlu menilai kembali banyak benda yang silap. Refleksi, cara permainan, salah strategi. Itu semua perlu diambil kira.

“Tapi pada masa sama, ia mendidik saya untuk jadi lebih berdisiplin dan bersemangat demi mengejar peringkat tertinggi. Sokongan ibu bapa tanpa henti turut beri saya keyakinan untuk berjaya dalam Dota 2. Bukan semata-mata hadiah yang dikejar tapi pengalaman itu sendiri yang tak boleh dibeli dengan wang.

“Memikul tanggungjawab sebagai kapten untuk skuad Red Gaming ketika ini pun menjadi satu cabaran untuk saya. Daripada ‘drafting’ hinggalah memantau komunikasi antara ahli adalah penting untuk bina keserasian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 3:27 AM