Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Permainan kasual di telefon pintar bukan saja dipuji, malah dianggap hiburan baru bagi remaja.

Ini kerana terdapat pelbagai judul direka khas untuk peranti pintar dan dimuatkan kandungan baru seperti didapati di PC.

Injustice 2 meneruskan legasi yang dibawa permainan sebelumnya, Injustice: Gods Among Us. Boleh dikatakan selepas menunggu sekian lama, akhirnya studio NetherRealms hadir dengan resipi kejayaan mereka sendiri menerusi keluaran kedua ini.

Menilai gaya permainannya, anda mengawal tiga karakter utama francais DC yang hadir dari era berlainan. Contohnya, Arkham Batman mampu bertemu dengan Suicide Squad HarleyQuinn dalam satu pertarungan.

Ini ditunjukkan melalui beberapa gerakan baru diperkenalkan untuk melakukan serangan. Injustice asal hanya memerlukan anda menekan skrin tapi di Injustice 2, anda boleh swipe ke kanan untuk serangan ‘dash’ dan swipe ke kiri untuk berganjak ke belakang.

Lebih menarik, setiap karakter DC diperkenalkan mempunyai sehingga tiga set kuasa dan satu ‘ultimate’. Untuk mengaktifkan kuasa itu, anda hanya perlu membelasah musuh bagi mendapatkan tenaga yang diperlukan. Bagaimanapun, tenaga itu boleh meningkat naik dengan perlahan-lahan tanpa menyerang.

Tidak seperti dulu, kuasa akhir atau ‘finishing moves’ tidak terikat dengan babak khas dan ia boleh dihalang atau dielak.

Pemain turut diberikan kebebasan untuk meneroka setiap kandungan baru. Pelbagai mod disediakan pada hari pelancaran, sekali gus menyediakan satu pengalaman baru bermain ‘game’ berkonsepkan pertarungan.

Selain mod kempen, anda dibekalkan akses kepada Arena dan Operations yang berfungsi hanya di atas talian. Pemain menghantar pasukan adiwira masing-masing untuk berlawan dengan pemain lain di peringkat global. Selain itu, ciri lain seperti Leagues dan Challenges diperkenalkan untuk menyeragamkan permainan ini.

Paling menarik, mod ‘story’ menceritakan mengenai kembara awal adiwira ini dan ia dicipta sepenuhnya oleh studio NetherRealm. Mod ini lebih kepada sinematik dan memperkenalkan anda pada dunia DC.

Ubah suai karakter

Setiap karakter dikenali dengan ‘star rating’ dan jenis, menentukan kekuatan dan kelemahan mereka. Sebagai contoh, Batman adalah kelas teknikal, mempunyai set kuasa berpandukan teknologi manakala Wonder Woman di bawah kelas ‘might’, memiliki kemahiran berlawan tiada tolok bandingnya.

Lebih menarik, mereka boleh dilengkapkan dengan pakaian tambahan dan aksesori yang diperoleh dari mod kempen. Malah, ‘star’ mereka boleh bertambah apabila anda mengumpul ‘shards’ yang dikehendaki.

Grafiknya boleh dikatakan sangat mengagumkan dengan enjin Unreal 4 yang diperhebatkan untuk kesesuaian peranti pintar. Tiada ‘lag’ dan kesukaran ketika berlawan lebih-lebih lagi di peranti dengan spesifikasi tinggi.

Masih ada kekurangan

Meskipun dilengkapi adiwira DC yang gah dan kuat, Injustice 2 masih ke belakang kerana barisan karakternya yang terhad. Karakter seperti Aquaman dan beberapa hero lain belum ditambah dalam ‘roster’ sedia ada.

Permainan ini berdepan dengan konsep perulangan yang mungkin membuatkan ada antara kita cepat bosan. Walaupun terdapat pelbagai cara baru untuk berlawan, namun konsepnya tetap sama. Lawan dan dapatkan bahan sepatutnya untuk tingkatkan kuasa pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mei 2017 @ 3:17 AM