AZMEER
WATAK berbahasa isyarat di dalam 'Midsummer's Nights 'Dream' oleh Shakespear dipentaskan di Highland Bowl Park, Rochester NY pada 2014.
PERSEMBAHAN Kumpulan Pelajar Malaysia di RIT.
Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Keinginan untuk mencari perspektif baru dalam hidup membawa Muhammad Azmeer Sharipol, 23, terbang jauh ke Amerika Syarikat.

Selain menjalani kehidupan sebagai pelajar jurusan Molekular Biologi dan Bioteknologi di Rochester Institute of Technology (RIT) di Rochester, New York, dia juga aktif dalam bidang seni teater dan drama.

Sama seperti remaja lain seusianya, Azmeer ingin membuktikan sesuatu kepada diri sendiri dan ibu bapa. Kisah hidupnya sebagai penggiat seni bermula apabila dia menghadir raptai tarian untuk sebuah teater di RIT.

“Reaksi pertama saya, terpegun melihat ramai menggunakan bahasa isyarat American Sign Language (ASL). Rupa-rupanya teater itu mempunyai unsur gabungan dua budaya iaitu percakapan dan bahasa isyarat.

“Pengalaman di situ membuatkan saya terpanggil untuk bergiat dalam bidang ini. Alhamdulillah, pengarah teater itu tertarik dengan kesungguhan saya dan seterusnya mendidik saya sebagai anak seni,” katanya.

Namun, ia tak semudah disangkakan apabila jurang bahasa dan kekurangan kemahiran berbahasa Inggeris menjadi penghalang utama untuknya pada ketika itu.

“Meskipun sifar pengetahuan bahasa isyarat, saya anggap ia satu cabaran. Saya belajar daripada awal sehingga sekarang sudah mampu memegang beberapa watak dalam lima produksi sama ada bercakap, menyanyi mahupun berbahasa isyarat.

“Persembahan kami bertempat di kampus dan sekitar Rochester serta di New York City. Pengalaman berada dalam bidang seni mengajar saya untuk tidak takut menyahut cabaran dan bebas menjadi diri sendiri tanpa ada unsur diskriminasi,” katanya.

Pencapaian terbaik

Menurut Azmeer, pencapaian terbaiknya dalam bidang seni adalah sewaktu memainkan satu watak di dalam produksi muzikal yang lebih khusus kepada agama Kristian.

“Produksi ini sangat mencabar untuk diri saya kerana memerlukan keupayaan untuk keluar daripada zon selesa. ‘Godspell’ adalah produksi muzikal yang mengambil cerita di dalam Bible untuk menyampaikan kisah komuniti yang hilang pegangan dan kasih sayang.

“Sebagai Muslim, saya mengutamakan mesej yang disampaikan melalui cerita itu dan menyampaikan watak dengan cara tersendiri. Untuk memahami budaya lain, kita mestilah berani belajar apa yang kita tidak tahu,” katanya.

Susulan itu, produksinya mendapat perhatian di salah satu teater berprestij di Rochester, Geva.

“Kami dijemput mementaskan produksi itu di sebuah sekolah ternama untuk kanak-kanak pekak dan kurang pendengaran di New York City sempena ulang tahun ke-100 pembukaan sekolah itu.

“Pada saya, berada di atas pentas bukanlah satu pencapaian yang hebat melainkan untuk diri sendiri. Tetapi pencapaian yang saya amat bangga adalah peluang buktikan kepada mereka yang kurang yakin untuk menjadi yakin,” katanya.

Sepanjang produksi berjalan, kumpulan Azmeer dijemput ke sebuah sekolah di New York City untuk menyampaikan ‘workshop’ berkaitan bahasa isyarat yang boleh dijadikan lagu.

“Peristiwa manis apabila kanak-kanak yang kurang pendengaran dan pekak dapat menari bersama kami biarpun tidak berupaya mendengar lagu. Sewaktu ‘workshop’ itu, pengarah memilih lagu yang dinyanyikan untuk watak saya dengan tarian yang berunsur budaya Malaysia.

“Di dalam Godspell, watak saya menyanyikan lagu ‘Light of the World’ yang menceritakan kita semua mampu menerangi dunia. Malah, pengarah memberikan saya peluang mempersembahkan tarian yang mempunyai nilai budaya Malaysia,” katanya.

Hargai sokongan ibu bapa

Azmeer berkata, tanpa sokongan ibu bapa tidak mungkin dia mampu berjaya ke tahap sekarang.

“Ayah dan ibu saya adalah sumber inspirasi di dalam bidang seni. Walaupun garang, ayah sewaktu muda sering berada di atas pentas teater dan selalu berpuisi.

“Ibu pula sewaktu muda, sering menari tarian Melayu asli. Mereka banyak beri sokongan kepada saya untuk mendalami bidang ini.

“Pada tahun keempat di RIT, ayah kembali ke rahmatullah, dua bulan sebelum majlis graduasi saya. Nasihat saya kepada anak muda, jangan takut untuk menjadi diri sendiri dan sentiasa ikut kata hati serta hargai pengorbanan ibu bapa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 4:15 AM