NOOR Carriena bersama koleksi Hello Kitty kepunyaannya.
SANGGUP menabung demi membeli barangan Hello Kitty.
SANGGUP menabung demi membeli barangan Hello Kitty.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Meminati warna merah jambu menjadi salah satu sebab Noor Carriena Hannie Subri, 26, begitu obses mengumpul barangan daripada karakter Hello Kitty.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, minat itu menyebabkan dia sanggup menabung demi membeli barangan bermotifkan Hello Kitty.

Noor Carriena atau lebih mesra dengan panggilan Carriena berkata, dia serius dengan hobi selepas tamat persekolahan tapi sejak berumur lapan tahun dia sudah meminati Hello Kitty.

“Ketika di sekolah rendah, saya amat meminati Hello Kitty sehingga hampir semua barangan termasuk beg sekolah, botol air dan alat tulis bermotifkan karakter berkenaan.

“Namun, minat itu terhenti sebelum ‘timbul’ semula selepas tunang menghadiahkan saya patung Hello Kitty edisi terhad.

“Sejak itu, saya kembali bersemangat mengumpul barangan Hello Kitty dan patung berkenaan antara koleksi kesayangan yang sentiasa menjadi peneman terutama ketika tidur,” katanya.

Bukan hanya mengumpul patung Hello Kitty, malah apa saja barangan berkaitan kartun berasal dari Jepun itu akan dibelinya.

Antara barangan itu termasuk lencana, pelekat, buku dan bantal peluk.

“Tidak dinafikan, harga barangan Hello Kitty tulen agak mahal namun sebab minat saya sanggup membelinya.

“Jika tidak beli pun, saya akan singgah ke kedai yang menjual barangan Hello Kitty dan mereka yang rapat sudah masak dengan tabiat itu.

“Kadangkala, rakan dan keluarga menegur namun mereka akhirnya faham dengan minat saya walaupun ramai menganggapnya seperti budak-budak,” katanya.

Carriena berkata, selain menambah koleksi, dia teringin mengunjungi taman tema tertutup Sanrio Hello Kitty Town di Iskandar Puteri Johor Bahru dan Jepun satu hari nanti.

Katanya, tidak sah rasanya menjadi penggemar Hello Kitty tanpa mengunjungi taman tema berkenaan.

“Memang banyak tempat percutian menarik di negara ini tapi salah satu destinasi impian saya adalah mengunjungi taman tema Hello Kitty di Johor.

“Harapnya, saya berkesempatan ke sana bersama keluarga, sekejap pun jadilah” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2017 @ 3:46 AM