BERKUMPUL menunggu peserta lain.
DALAM perjalanan ke Fraser Hill.
MENIKMATI santapan di Lemang To'ki.
ANTARA peserta yang menjayakan Fun Ride Fraser Hill kali keempat.
KSR Most Wanted di Rumah Rehat Sri Berkat.
Hazril Md Nor
Gen.y@hmetro.com.my


DAHULU istilah konvoi biasanya dikaitkan dengan pemilik motosikal berkuasa tinggi namun kini tidak lagi apabila ada komuniti ‘minibike’ mula mendapat tempat dalam kalangan anak muda ‘berjiwa kelajuan.’

Komuniti dinamakan KSR Most Wanted dengan jumlah ahli seramai 700 orang di Facebook diasaskan pada 2013 dengan tujuan mengumpulkan peminat motosikal bersaiz kecil.

Penggal ini, KSR Most Wanted diterajui Muhamad Qaizzulmuzammil Abdul Manap selaku presiden dan Mohd Taufiq Mohamad Hassim sebagai naib presiden.

Menurut Mohd Taufiq, kini ramai ahli baru di Facebook yang terdiri daripada pelbagai lapisan usia termasuk remaja. Malah, kanak-kanak seawal usia 10 tahun turut menceburkan diri dalam komuniti ini.

Bagi mengeratkan hubungan bersama ahli, pelbagai aktiviti dianjurkan seperti majlis berbuka puasa bersama anak yatim, perarakan mengiring pengantin dan konvoi ke Pahang.

Aktiviti terbaru dijalankan KSR Most Wanted adalah konvoi ke Fraser Hill pada 23 dan 24 April lalu.

“Sempena Tahun Melawat Pahang 2017, kami mengadakan aktiviti Fun Ride kali keempat. Ia kesinambungan acara tahunan 1,2 dan 3 yang juga diadakan di Fraser Hill bermula pada 2014.

“Ia turut menjadi platform untuk mengetengahkan kategori mosikal jenis ‘minibike’ atau ‘funbike’ seperti Kawasaki KSR110 dan Z125, Honda MSX125 dan Benelli TNT123,” katanya.

Selain mengumpul pemilik motosikal ‘minibike’ di Malaysia, aktiviti itu turut bersifat santai dengan penyertaan daripada kelab penunggang ‘minibike’ dari Takbai, Thailand.

“Terdahulu, kami berkumpul di Kuala Kubu Baru sebelum memulakan pendakian dan kemudian bermalam di Rumah Rehat Sri Berkat yang mampu menampung lebih 50 peserta.

“Pada waktu malam pula, aktiviti dimeriahkan dengan BBQ dan lepak santai bersama penunggang dari Thailand. Di sinilah bermula sesi suai kenal antara kami apabila pelbagai isu berkenaan motosikal masing-masing dibincangkan termasuk penjagaan dan pembelian barangan ‘minibike’ ini,” katanya.

Acara kemuncak adalah pada Ahad apabila kebanyakan peserta yang tidak bermalam akan berkumpul untuk bersarapan dan bergambar beramai-ramai di mercu tanda Frasher Hill.

“Selepas itu, lokasi terakhir kami adalah menikmati makanan tradisional di Lemang To’ki di Bentong, Pahang sebelum semuanya berpisah dan pulang ke destinasi masing-masing,” katanya.

Katanya lagi, selain konvoi ke Fraser Hill, mereka juga pernah mengadakan majlis berbuka puasa di rumah anak yatim di Ipoh dan terbabit dalam program membeli sambil menderma di Sekolah Semangat Maju, Sitiawan, Perak.

“Ini antara usaha komuniti untuk menabur bakti kepada golongan memerlukan. Walaupun tidak seberapa, tapi sekurang-kurangnya program khidmat masyarakat ini dapat menceriakan mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2017 @ 6:23 AM