JARAK kayuhan 120 kilometer.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Simbolik kepada kehidupan ahli maritim yang bertugas di lautan, buat kali kedua berturut-turut Rumah Api Tanjung Tuan dipilih sebagai lokasi tarikan Cape Rachado Cycling Challenge (CRCC) 2018.

Dianjurkan pada 9 September lalu oleh Seafarer Management Centre, program berbasikal itu menawarkan tujuh kategori termasuk kayuhan santai.

Pengurus Projeknya, Wan Nurul Atikah Wan Azizan, berkata lebih 500 penyertaan diterima daripada penggemar sukan berbasikal berusia 18 hingga 50 tahun.


TARIK lebih 500 penyertaan.

“Berbanding penganjuran kali pertama, tahun ini kami memperkenalkan lebih banyak kategori mengikut tahap, jantina dan usia. Kami berjaya menarik ramai peserta bagi program tahun ini.

“Kami turut memperkenalkan kategori unik, Super Mama, khas buat golongan wanita berusia 40 hingga 50 tahun.

“Inisiatif ini dilakukan berdasarkan permintaan diterima dan pengalaman sebelum ini.

“Bagi kategori profesional, jarak kayuhan adalah 120 kilometer (km) manakala kayuhan santai pula 30 km,” katanya.

Berkongsi tarikan CRCC 2018, Wan Nurul Atikah mengakui penganjuran tahun kedua terbuka kepada awam, turut disertai peserta dari luar negara termasuk Singapura.

Laluan kayuhan CRCC 2018 membabitkan Jalan Pantai, Linggi, Lubuk China, Kota, Rembau dan Si Rusa memberi cabaran dengan laluan berbukit dan berselekoh, selain cuaca tidak menentu.


TAMPIL dengan tujuh kategori.

Program dirasmikan Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia, Datuk Baharin Abdul Hamid ini bertujuan mempromosikan rumah api tertua di Malaysia yang dibina pada 1863.

Menariknya, CRCC diadakan sempena sambutan Hari Maritim Sedunia turut memberi peluang kepada orang ramai mengunjungi kawasan Rumah Api Tanjung Tuan.

Sebagai penganjur, Wan Nurul Atikah mensasarkan 1,000 penyertaan pada edisi akan datang sama ada peserta tempatan mahupun luar negara terutama negara jiran seperti Singapura, Thailand, Brunei dan Indonesia.

Selain itu, katanya sokongan daripada organisasi maritim lain diperlukan bagi menjayakan lagi program kayuhan basikal ini.


PROMOSI Rumah Api Tanjung Tuan sebagai tarikan pelancongan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 12:30 AM