BERGAMBAR berlatar belakang Sungai Thames dan Tower Bridge.
EIFFEL Tower.
Cemaron Bahari
cemaron@mediaprima.com.my

PERANCANGAN hampir dua tahun projek Road to London akhirnya menjadi kenyataan apabila saya dan isteri bersama enam lagi anggota keluarga sebelah isteri menjejakkan kaki di kota London pada Jumaat 31 Ogos lalu.

Seminggu sebelum itu, lima daripada anggota keluarga sebelah isteri sudah berangkat ke London lebih awal kerana melawat Ireland dan Scotland.

Idea ke London bermula gara-gara meraikan majlis konvokesyen anak saudara sebelah isteri Nur Adillah Abdul Aziz di University College London (UCL) pada 5 September lalu.

Perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Heathrow London mengambil masa hampir 13 jam. Suhu di London cukup selesa iaitu waktu siang 18 darjah Celsius manakala malam lebih kurang lapan darjah Celsius. Keadaan yang ideal untuk menjiwai percutian keluarga ini.

Kami menyewa dua apartmen di Chase Side iaitu sebuah pekan yang terletak lebih kurang 60 kilometer (km) dari Heathrow, London. Semua kemudahan dan bekalan makanan halal boleh diperoleh di pekan ini melalui dua pasar raya besar iaitu Asdar dan Tesco.

Pada hari pertama kami menaiki kereta api bawah tanah (Tube) menuju ke Westminster. Dari atas Jambatan Westminster kami melihat pemandangan Sungai Thames, London Eye dan bangunan Palace of Westminster iaitu tempat persidangan wakil rakyat Britain.

Selepas puas, kami berjalan santai ke Trafalgar Square, melihat Menara Nelson di keliling empat patung singa dan National Gallery yang dipenuhi pengunjung untuk menyaksikan kumpulan anak muda mempamerkan bakat seni mereka seperti menyanyi, menari, melukis dan sebagainya.

Hampir separuh hari berjalan, perut mula berkeroncong. Kami sepakat untuk meninjau China Town dan singgah di kedai Rasa Sayang. Senyuman menguntum apabila diberitahu kedai ini diurus oleh rakyat Malaysia dan makanannya halal. Jadi, bolehlah kami menikmati sajian tanpa bimbang.

Selesai menjamu selera, kami segera bergegas ke Oxford Street untuk acara yang ditunggu-tunggu - mencari ole-ole! Di sini kami membeli-belah di gedung pakaian Primark. Gedung ini dikatakan sama seperti Mydin di tanah air. Apa lagi, kami menghabiskan masa di sini sampai petang. Selepas puas dan masing-masing menemui apa yang dicari, barulah kami pulang untuk berehat.

Esoknya kami menyewa kereta untuk ke Cotswold yang sejauh 160 kilometer dari kota London. Daerah ini diisytiharkan taman semula jadi yang dipelihara. Masing-masing teruja apabila tiba di perkampungan Biburi, sebuah perkampungan silam dengan bangunan berbentuk lama.

Bukan mudah untuk berada dalam suasana begitu. Jadi semuanya sibuk dengan telefon pintar dan kamera masing-masing bagi merakamkan kenangan indah di sana.

Kemudian kami menuju ke bandar Bath lebih kurang 56 kilometer dari Cotswold. Bath sebuah bandar lama dibina oleh bangsa Rom. Rupa bentuk bangunannya dipelihara dan sangat unik. Kagum juga melihat usaha negara maju ini memelihara khazanah lama untuk dinikmati generasi sekarang yang secara tidak langsung menjadi tumpuan pelancong. Dari Bath kami terus pulang ke London dalam keletihan.


BERGAMBAR berlatar belakang Sungai Thames dan Tower Bridge.

Pada hari ketiga, kami meneruskan perjuangan membeli-belah di Primark dan Camden Town. Camden boleh dikatakan seperti Jalan Chow Kit. Banyak kedai di kiri kanan menjual barangan agak murah hingga rambang mata. Di kawasan ini memang sibuk dengan orang ramai. Tarikan kedai yang menawarkan harga yang agak murah menyebabkan kami tidak sedar cepatnya waktu berlalu.

Pada hari keempat, kami kembali menggunakan khidmat Tube untuk ke stesen kereta api St Pancras. Dari sini kami menaiki kereta api Eurostar ke Paris. Jarak dua kota ‘glamor’ yang sentiasa menjadi sebutan ini lebih kurang 500 kilometer dan perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam.

Di Paris kami melawat Menara Eiffel dan Ach de Triomphe sebelum balik ke hotel. Masa di Paris dimanfaatkan sebaiknya dengan melawat Musee de Louvre, Notre Dame dan membeli-belah di sekitarnya. Petangnya kami kembali ke stesen kereta api Gare Du Nord Paris untuk menaiki Eurostar balik ke London.

Agenda seterusnya ialah ke Istana Buckingham kerana masing-masing mahu merakamkan gambar persembahan pancaragam dan pertukaran pengawal istana. Dari Istana Buckingham kami ke Tower Bridge, kemudian singgah sebentar di London Wall dan menghabiskan masa di Tower of London.

Selepas bergambar di Tower Bridge, kami menyusur tepi Sungai Thames menuju ke Westminster Pier iaitu jeti untuk menaiki cruise menyusuri Sungai Thames selama 45 minit sambil mendengar penerangan daripada jurucakap. Banyak juga maklumat yang sampai ke telinga kami, tetapi rasanya mata lebih leka menikmati pemandangan.

Keesokannya, kami semua mengenakan pakaian terbaik yang dibawa untuk ke UCL bagi meraikan anak saudara yang menerima ijazah pertama dalam bidang farmasi. Puas menjadi jurukamera, kami pun pulang ke apartmen untuk berehat sebelum terbang pulang ke tanah air. Dalam perjalanan pulang, fikiran sudah disibukkan dengan ilham baru - Road To London 2.0!

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 September 2018 @ 4:00 AM