KELUARGA penyokong kuat Nawfal.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


SEJAK di bangku sekolah lagi Nawfal Mohd Zamri sering mengikuti ibunya, Jameyah Mohd Sheriff melakukan kerja sosial.

‘Ibarat disorongkan bantal’ daripada satu projek iaitu bermula dengan program bersama penghuni Rumah Kanak-Kanak Kepala Batas Seberang Jaya, Pulau Pinang sehingga kini, dia ligat meraikan golongan itu melalui pelbagai program berbentuk sokongan moral dan sosial.

Kata Nawfal, tanpa sebarang sandaran pada organisasi besar sebaliknya sokongan ibu memadai untuk dia menggerakkan kerja sosial termasuk program bersama anak jalanan atau istimewa.

“Ibu mentor pertama saya dalam kerja sukarelawan. Sementara bagi ibu pula kami ini anak-anaknya sentiasa menjadi ‘kaki dan tangan’ menggerakkan kerja kebajikannya.


KANAK-KANAK ceria mengikuti program drama.

“Kepakaran saya berinteraksi dan melakukan program bersesuaian dengan anak-anak ini. Mereka biasanya terbabit dalam kelas drama saya.

“Di sini anak-anak ini akan belajar menyanyi dan membina keyakinan diri.

“Ia juga secara tidak langsung membantu mereka berinteraksi dengan lebih positif sesama rakan sebaya.

“Mereka yang mengikuti perkembangan kerja sosial ibu pasti perasan mengenai projek kami laksanakan. Pengalaman saya termasuk menjayakan persembahan teater muzikal ‘The Living Forest’ membabitkan kanak-kanak sindrom Down yang menempa nama dalam Malaysia Book of Records pada 2010.

“Rujukan saya sememangnya ibu selain mendapat pendidikan formal iaitu Diploma Persembahan Teater di Akademi Seni dan Warisan (ASWARA) dan ijazah pengarahan dalam membantu melatih anak-anak istimewa menyerlahkan bakat,” katanya.

Tambah Nawfal, bukan dia seorang malah semua saudaranya mempunyai peranan tertentu dalam kerja kebajikan atau program sukarelawan dilaksanakan bersama ibu mahupun secara sendiri.

“Selain saya, adik lelaki yang juga anak keempat, Muzani yang mempunyai kelebihan dalam bidang komputer kerap mengajar anak istimewa menggunakan teknologi terbabit.

“Sebenarnya semua pernah turun bersama-sama membantu ibu menjalankan program.

“Pada saya hubungan kami begitu rapat menyebabkan tidak sukar untuk masing-masing memberi komitmen dalam kerja kebajikan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Jameyah berkata, amalan sukarelawan didedahkan kepada anaknya sejak kecil lagi.

“Asasnya amalan murni iaitu kerja kebajikan ini perlu diasuh serta ditanam sejak kecil lagi.

“Jadi sebab itu apabila bertemu dengan golongan kanak-kanak ini saya suka bawa anak untuk mereka kenal dan memahami nasib rakan sebaya.

“Pada usia itu saya ajar anak-anak kemahiran diperlukan termasuk komunikasi dan tingkah laku yang perlu ada ketika berdepan kanak-kanak ini. Antaranya menghormati dan letakkan empati sebagai penilaian untuk setiap keputusan diambil ketika membantu.

“Wang ringgit bukan satu-satunya jalan untuk membantu sebaliknya tenaga serta komitmen itu perlu ada. Pengalaman saya sendiri.

“Insya-Allah ada saja yang akan menyumbangkan wang atau barang, tetapi tenaga atau sukarelawan yang komited susah dicari.

“Setidak-tidaknya saya mahu anak mewarisi semangat atau minat saya dalam kerja kebajikan,” katanya yang sering dibantu lima anak lagi iaitu Zunirah, Nawwar, Muzani, Wildani dan Athilia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 3:06 PM