PESERTA bersemangat memulakan perjalanan.
Noor Hidayah Tanzizi
rencana@nstp.com.my


PELBAGAI cara dilakukan bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan atas semangat patriotik, seramai 300 peminat sukan berbasikal menyertai Kayuhan Santai Malam, baru-baru ini.

Kayuhan secara santai itu pasti meninggalkan pengalaman menggembirakan, selain dapat menikmati keindahan dan kedamaian suasana pada waktu malam.

Program itu menyaksikan peminat sukan berbasikal seperti Mountain Bike (MTB), Road Bike (RB) dan basikal lipat, malah basikal klasik bergabung bagi menzahirkan sokongan sempena karnival kemerdekaan.

Program itu anjuran Kelab Basikal Manjung (KBM) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Pejabat Daerah dan Tanah Manjung, Jabatan Penerangan dan Pejabat Belia dan Sukan Daerah Manjung selain Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang serta Parlimen Lumut, membabitkan jarak sejauh 25 kilometer.


KAYUHAN malam dilengkapi lampu dan pakaian sesuai.

Bermula di perkarangan IPD Manjung, peserta dilepaskan ADUN Pasir Panjang, Yahaya Mat Nor dan melalui laluan di Pusat Perniagaan Manjung Point, Taman Paya Bakau, Persiaran Venice, pekan Lumut seterusnya berpatah balik ke Seri Manjung melalui Pundut sebelum kayuhan berakhir di hadapan pejabat MPM.

Jarak kayuhan agak jauh, namun kedinginan malam menjadikannya terasa dekat, malah kurang penat.

Biarpun begitu, cabaran tetap dirasai berikutan kegelapan malam menjadikan jarak pandangan peserta terhad dan menggunakan bantuan lampu serta melalui laluan yang agak sibuk pada cuti umum, 31 Ogos.

Presiden KBM, Shahrul Nazmie Sharudin berkata, kayuhan itu juga menarik minat kanak-kanak dan pelbagai peminat sukan berbasikal termasuk basikal klasik.

Menurutnya, biarpun kayuhan malam itu berkonsepkan santai dengan laluan yang kurang ekstrem, pemilihan laluan yang agak sibuk memberi kelainan kepada program.

“Kayuhan ini inisiatif kelab sempena bulan kemerdekaan untuk menarik minat golongan muda yang menjadi sasaran utama supaya dapat bersama-sama menyertai program.

“Selain dapat menunjukkan semangat patriotik mereka juga dapat melakukan aktiviti menyihatkan dan berfaedah,” katanya.

Menurutnya, kayuhan malam itu adalah edisi pertama dianjurkan dan dia tidak menyangka sambutan menggalakkan daripada peminat basikal termasuk yang baru berjinak-jinak dalam sukan itu.

Katanya, ia juga membuktikan masyarakat setempat kini membudayakan gaya hidup sihat dengan aktiviti sukan.

“Sejak ditubuhkan Mei tahun lalu, kelab ini sudah menganjurkan lapan program kayuhan dengan kayuhan malam yang pertama dianjurkan dan kami mahu mendidik orang ramai berbasikal.

“Sebab itu, kami menganjurkan acara santai sebelum ke peringkat lain kerana kayuhan santai boleh dianggap sebagai pembuka jalan untuk mendekati basikal,” katanya.

Peserta, Mohd Ridzuan Jamaluddin, 39, berkata, kayuhan kali ini jauh berbeza berbanding yang pernah disertai kerana ia membawa semangat dan sokongan kepada negara.

Katanya, laluan kurang mencabar tidak penting kerana ia adalah kayuhan santai yang memberikan keseronokan berkayuh pada waktu malam.

“Kayuhan malam lebih tenang tetapi agak berisiko, namun ia tidak menjadi masalah kerana ada kawalan polis dan yang paling penting adalah sentiasa memastikan aspek keselamatan dipatuhi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 2:58 PM