TARIK 800 penyertaan.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Panorama kehijauan sawah padi, kecantikan flora dan keunikan seni bina tradisional masyarakat Minangkabau antara tarikan istimewa di sepanjang kayuhan NS Nature MTB Jamboree Jelebu 2018 yang diadakan pada 1 September lalu.

Menjadikan Muzium Adat Jelebu, Kuala Klawang sebagai titik mula dan tamat, objektif utama program kayuhan bersiri yang diperkenalkan sejak 2014 adalah mempromosikan tarikan pelancongan tempatan.

Menggunakan moto ‘Moh Dogheh Ngayuh’ juga bertujuan mengumpul penggemar sukan basikal gunung dan bersama-sama melakukan aktiviti, sekali gus mempromosikan gaya hidup sihat.

Presiden Jelebu Cycling Association (JCA) Ahmad Awalludin Hussein berkata, penganjuran NS Nature MTB Jamboree Jelebu 2018 dilakukan JCA dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan dan Majlis Daerah Jelebu.


SEMBILAN kategori diperkenalkan.

“Sebenarnya program kayuhan basikal ini adalah bersiri dan dilakukan di beberapa destinasi pelancongan di Negeri Sembilan.

“Tahun lalu, NS Nature diadakan di Sri Menanti, Gemas dan Jelebu, namun tahun ini, hanya di sini (Jelebu).

“Menerusi kayuhan sejauh 38 kilometer ini merangkumi ‘on-road’ dan ‘off-road’, kami bukan saja mempromosikan keindahan dan keunikan lokasi menarik di Jelebu, bahkan turut meningkatkan sumber ekonomi masyarakat setempat.

“Bagi penganjuran kali ini, kami menerima 800 penyertaan membabitkan pengayuh basikal tempatan dan asing dari Singapura dan Sweden.

“Selain itu, kami turut memperkenalkan sembilan kategori termasuk Lelaki Junior, Lelaki dan Wanita Terbuka, Lelaki Junior Master, Lelaki Master, Wanita Senior, ‘Fat Bike Open’, Senior Master dan ‘Heavyweight’. Rata-rata peserta berusia antara 14 hingga 60 tahun,” katanya.


PROMOSI lokasi pelancongan tempatan.

Sementara itu, pengurus acara, Mohd Khairull Ismail berkata, kayuhan yang bermula seawal jam 8 hingga 12 tengah hari ini menjadikan kawasan kampung dan bukit sebagai laluan utama.

Antara laluan kayuhan ini ialah Kampung (Kg) Binjai, Kg Tembun, Kg Kemin, Kg Bukit, Kg Sarin, Bandar Tinggi, Kg Chenor, Kg Jelin, Kg Kampai, Kg Kuala Pah, Sungai Rotan, Petaling dan Mengkan.

Menurutnya, berdasarkan respons peserta, kebanyakan berpuas hati dengan laluan kayuhan NS Nature MTB Jamboree Jelebu 2018 kerana disempurnakan dengan laluan denai atau ‘off-road’, mendaki dan menuruni bukit, tanah berselut yang menjadi kegemaran mereka.

Katanya, keunikan laluan acara kayuhan ini memberi cabaran dan menguji ketahanan fizikal serta mental kepada peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang sama ada amatur dan profesional.


PESERTA berusia 14 hingga 60 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 3:53 AM