PESERTA dilepaskan di Dataran Kemerdekaan sebelum berkayuh 25 kilometer.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Atas semangat patriotisme dan memeriahkan sambutan kemerdekaan ke-61 negara, seramai 400 peminat sukan basikal bergabung dalam program Kayuhan Santai Shah Alam, baru-baru ini.

Program anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Ahli Kelab Basikal Shah Alam (KELAS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hikers Climbers dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana ini membabitkan kayuhan sekitar bandar raya sejauh 25 kilometer bermula dari Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Peserta dilepaskan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad. Malah, MBSA mengedarkan kemeja-T percuma kepada 300 peserta terawal yang mendaftar untuk kayuhan berkenaan yang bertujuan membangkitkan semangat kemerdekaan dalam diri setiap peserta di samping memupuk dan mengukuhkan perpaduan.


PESERTA daripada kelab basikal tidak lepas peluang semarak hari sambutan kemerdekaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, program kayuhan dijayakan untuk membangkitkan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat berikutan aktiviti berbasikal juga mampu menyatupadukan semua kaum dan agama di daerah ini.

“Aktiviti sebegini diyakini mampu mengeratkan hubungan masyarakat dan dapat mewujudkan semangat kesukanan dalam kalangan anak muda, selain melahirkan warga Shah Alam yang sihat dan cergas.

“Acara berbasikal juga aktiviti yang kerap diadakan MBSA kerana ia menjadi gaya hidup masyarakat masa kini untuk melakukan aktiviti riadah khususnya bersama keluarga,” katanya.

Sepanjang kayuhan, peserta mengibarkan Jalur Gemilang sekali gus menyerlahkan matlamat utama mereka dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara. Malah, ada pengunjung yang tidak menyertai kayuhan memberikan sokongan kepada program berkenaan dengan hadir memakai baju bermotif Jalur Gemilang.


KIBAR Jalur Gemilang suntik semangat kemerdekaan.

Shahrin berkata, selain memeriahkan lagi bulan kemerdekaan, penganjuran acara berbasikal itu diharap menyuntik kembali semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat yang dilihat semakin berkurangan.

“Tidak ramai masyarakat meraikan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang. Jadi, kami harap kayuhan ini secara tidak langsung menyuntik kembali semangat mereka dalam meluahkan semangat cintakan negara dan memahami erti kemerdekaan sebenar.

“Kita wajar berasa bangga mengibarkan Jalur Gemilang di mana-mana saja bagi membuktikan semangat cintakan negara dengan ikhlas. Ini yang cuba kami tekankan dalam kalangan peserta muda supaya golongan yang lahir selepas merdeka tidak alpa dengan arus kemodenan negara hingga terlupa pengorbanan pejuang negara mempertahankan tanah air,” katanya.


BAJU Jalur Gemilang tanda sokongan daripadapengunjung tidak berkayuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 September 2018 @ 4:00 AM