TEMPAT berehat menghadap landasan lama kereta api 1930 yang masih wujud.
Nor Aziah Sharif
noraziasharif@hmetro.com.my

Penulis memenuhi sebahagian masa ketika berada di Boya, Australia Barat dengan beriadah di landasan kereta api yang sudah tidak digunakan lagi dan kini menjadi lokasi popular bagi penduduk setempat untuk melakukan pelbagai aktiviti.

Trek menarik ini terletak tidak jauh dari rumah anak penulis dan seronok juga dapat memeriahkan aktiviti cergas masyarakat di sini, sama ada sekadar berjalan pantas, berjoging, berbasikal mahupun berkuda.

Nama Boya bukan nama masyarakat asli tempatan Australia sebaliknya dikuatkuasakan untuk diguna pakai oleh penguasa kerajaan pada awal kurun ke-20. Jauhnya Boya dengan pusat bandar Perth kira-kira setengah jam pemanduan.

Awal pagi adalah waktu paling sesuai untuk menikmati udara nyaman dan suasana segar. Terasa sayang untuk melepaskan suasana yang sebegini indah begitu sahaja apatah lagi penulis memang suka berada dekat dengan alam semula jadi. Jadi, inilah kesempatan terbaik untuk melihat keindahan bunga hutan yang menyerikan landskap semula jadi Australia Barat.


KEUNIKAN bunga gandingan kuning, hijau dan merah jambu umpama pelangi.

Bunga hutan sangat terkenal di Australia yang menjadikannya koleksi bunga hutan terbesar di dunia. Keistimewaan bunga hutan yang tumbuh melata melitupi bumi sama ada menjalar atau merimbun ini terletak pada kelopak bunganya yang berwarna-warni. Sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata keindahan apabila bunga-bunga itu berkembang mekar.

Penulis menyusuri trek itu pada sebelah pagi tetapi tidak kelihatan bunga hutan. Apa yang ada hanyalah pokok rimbunan hijau. Apabila datang pada waktu petang, penulis dihidangkan dengan pemandangan bunga hutan mula menguncup. Hampa. Rupanya ia tidak seperti bunga-bungaan yang ditanam, mekar sepanjang hari ketika berbunga.

Tidak diketahui jam berapa sebenarnya bunga hutan ini mula mekar. Selepas dibuat perhitungan, penulis cuba keluar menjelang tengah hari.


KUNTUMAN bunga putih menyambut kedatangan pengunjung.

Seperti hari-hari terdahulu, penulis memulakan perjalanan dengan melangkau anak sungai yang kadangkala diletakkan dahan besar untuk menyeberang.

Ada kala laluan terhalang dek dahan pokok yang dihanyutkan air deras selepas hujan. Laluan ini tidaklah sukar kerana digunakan ramai penduduk yang beriadah termasuk kumpulan warga emas atau ibu bapa membawa anak mereka berjalan. Biasanya apabila berselisih, ramai yang mesra bertegur sapa dan ada juga yang ramah berbual seketika mengenai cuaca.

Oleh kerana hujan awal pagi, dahan yang diletakkan untuk merentasi anak sungai dihanyutkan air. Mujur ada pokok tumbang tidak jauh dari laluan yang biasa diikuti. Dapatlah penulis meniti dahan pokok berkenaan untuk menyeberang.

Kesukaran itu rupanya ada ganjaran. Kira-kira 50 meter dari tebing sungai, penulis dijamu pemandangan bunga hutan yang kembang mekar dengan pelbagai warna. Bunga jingga, ungu, biru, putih, merah, kuning, hijau jingga bercampur merah, coklat dan merah jambu tampak begitu mesra mengalukan kedatangan penulis.


BUNGA merah-putih mewarnai Taman Negara John Forrest.

Riadah penulis hari itu mengambil lebih masa daripada biasa, selain membelek-belek bunga hutan sudah tentu penulis merakamkan warna-warni bunga hutan. Penulis meneruskan langkah dan terserempak bunga berwarna putih dengan enam kelopak berjalur merah jambu cair dan ada kelopaknya dilatari warna kuning.

Penulis lihat bunga ungu kemerah-merahan mekar di bawah sinar mentari. Laluan yang dijelajahi untuk menikmati keindahan bunga hutan tidak menghampakan. Bunga merah strawberi, putih berjalur ungu dan bercampur-campur merah jambu juga tidak kurang memikat.

Bunga hutan dikatakan memberi faedah kepada ekosistem setempat dan manusia. Daya tarikan bunga terhadap kumbang dan burung menggalakkan persekitaran sihat. Dek asyik layan bunga hutan, hari itu penulis berjalan empat kilometer pergi dan balik!


RIMBUNAN bunga kuning diraja megah di persada hutan Boya.

Kecantikan kelopak bunga hutan membuat penulis menjelajah ke satu lagi trek di Taman Negara John Forrest. Pemandangannya juga tidak menghampakan kerana di situ banyak bunga liar mewarnai alam hutan yang suram.

Bunga hutan dengan warna putih, ungu dan merah jambu menghiasi laluan pengunjung ke tempat air terjun Hovea Falls yang menuruni di celah-celah batu bukit. Bunyi air yang turun dari atas bukit menerbitkan nuansa damai dengan udara segar.

Penulis berjalan satu kilometer dari pintu utama untuk sampai ke air terjun dengan menaiki laluan sempit yang boleh dilalui seorang saja pada sesuatu masa. Penulis menghela nafas lega sebaik melihat kecantikan air bukit yang di bawahnya dihiasi bunga hutan.


AIR terjun Hovea Falls segar menuruni bukit di Taman Negara John Forrest.

Taman ini menyediakan trek sejauh 2.2 kilometer diberi nama Laluan Jane Brook, juga asalnya adalah landasan kereta api yang digunakan pada 1930. Ia dikekalkan sebagai tempat riadah dengan binaan semula konkrit demi keselamatan pengunjung.

Berbekalkan 12,000 spesies bunga hutan yang subur melata di Australia Barat menjadikan ia koleksi bunga hutan terbesar di dunia. Ia umpama permaidani bumi apabila 60 peratus bunga hutan hanya hidup di Australia Barat dan tiada di tempat lain. Jadi, jangan lepaskan peluang melihat keindahan ini jika anda berpeluang ke sini.

Bunga hutan yang tumbuh melata di kawasan seluas 2.5 juta kilometer persegi di Australia Barat mencipta pemandangan yang unik. banyak yang masih belum dikenali tetapi ia meninggalkan kesan mendalam.

Walaupun banyak yang tidak diketahui namanya, ia memberikan imbuhan kepada mata yang menatap. Biarpun tidak harum, seri bunga hutan terpahat pada warnanya yang sungguh menawan!


PENULIS melepas lelah berjalan dalam persekitaran indah dan tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 5:30 AM