TEKNOLOGI persembahan yang memukau.
Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my

Dua puluh empat jam, tujuh hari seminggu. Bandar metropolis ini sememangnya tidak pernah sunyi daripada kehadiran manusia yang datang dari segenap pelosok dunia.

Apatah lagi berada di kawasan yang menjadi ‘nadinya’, ibarat melihat deretan semut yang sibuk dengan pelbagai urusan masing-masing.

Berada di tengah hiruk-pikuk New York, Amerika Syarikat bukan pengalaman baru buat penulis kerana setiap tahun pasti ada sahaja perkara yang perlu dilakukan di bandar terkemuka dunia itu. Malah, ada ketika apabila berpeluang ke sana, penulis sengaja memilih untuk duduk santai di Times Square, hanya untuk menghayati realiti kesibukan manusia.

Selain ‘mengalir’ dalam kesesakan di Times Square, setiap kali ke sana, perkara yang terlintas di fikiran sudah tentu aktiviti beli-belah terutama produk keluaran negara itu seperti kasut sukan dan beg kerana harga berpatutan apatah lagi sesetengah rekaan tidak dijual di Malaysia.

Disebabkan itu, setiap kali singgah ke New York pasti ada rakan yang mengirim pelbagai barangan untuk dibeli. Malah, menjadi perkara biasa beg akan ‘beranak’ satu atau dua apabila pulang ke Malaysia!

Dalam pengembaraan kali ini, selain aktiviti beli-belah, penulis berkesempatan merasai pengalaman baru iaitu menonton persembahan teater muzikal di Broadway yang sememangnya sinonim dengan bandar berkenaan.

Persembahan di Broadway menjadi antara tanda pengenalan penting New York terutama di Manhattan kerana dewan teater di sini terlalu banyak dan masing-masing bersaing untuk membawakan pementasan terbaik. Sebut saja genre apa yang anda minati, semuanya ada di sini.

Kali pertama menjejak kaki di Manhattan sememangnya tidak pernah terlintas langsung untuk menonton sebarang pementasan kerana ia bukan elemen yang tersenarai kala mengembara di Amerika Syarikat.


ANTARA tajuk persembahan Broadway di New York beri pilihan kepada pengunjung.

Bagaimanapun, pada kunjungan kali ini peluang itu terbuka. Penulis dan rakan media dari Malaysia dipelawa pihak Acer iaitu syarikat yang membawa kami ke sana bagi membuat liputan persidangan Acer global, next@Acer 2018 untuk merasai sendiri pengalaman pertunjukan Broadway.

Penulis dan rakan-rakan sungguh teruja apabila melihat perkataan yang tertera pada tiket. Aladdin! Ya, masing-masing tidak sabar untuk menyaksikan pertunjukan Aladdin yang sangat terkenal itu. Sudah terbayang dalam kepala kisah Aladdin, pemuda nakal yang berubah nasibnya selepas bertemu dengan jin pelita tembikar bernama Genie.

Sebaik sahaja tiba di Teater New Amsterdam, ramai penonton beratur panjang di pintu masuk dewan itu dan kakitangan panggung lengkap beruniform cerita dongeng itu menyambut mesra ketibaan pengunjung sambil memeriksa tiket untuk pertunjukan jam 8 malam.


PEMANDANGAN pengunjung berbaris membeli tiket teater muzikal setiap masa bukan perkara asing.

Harga tiket pula berbeza-beza, bergantung pada kedudukan diinginkan dan harga paling rendah AS$77 (RM315) seorang. Harga lebih mahal jika kedudukannya lebih strategik dengan pentas.

Dekorasi dewan teater dua tingkat itu memang menarik kerana menampilkan gaya klasik penuh elegan serta memberikan rasa tenang kepada pengunjung yang kali pertama seperti penulis berada di dalamnya.

Tepat jam 8 malam, tirai pentas utama disingkap dan pelakon mula menunjukkan aksi tarian masing-masing. Sememangnya tarian pembukaan itu sahaja sudah mampu menyuntik rasa untuk penulis terus menonton persembahannya sehingga habis.


PENUH prestij Dewan Teater New Amsterdam janjikan keselesaan kepada penonton.

Langkah tarian yang sekata, bersama alunan muzik dan air muka penuh penghayatan, menjiwai setiap baris lagu yang didendangkan berselang-seli dengan adegan lucu menjadikan penonton tidak berkelip mata menonton persembahan mereka.

Walaupun umumnya sudah tahu bahawa persembahan teater muzikal itu adalah lakonan semata-mata, dengan adanya gabungan teknologi pementasan menjadikan penceritaan Aladdin yang ditonton pada malam itu membuatkan ia seolah-olah realiti.

Misalnya, keluar kepulan asap dan Genie apabila Aladdin menggosok pelita tembikar. Malah, apabila Aladdin membawa Puteri Jasmine menaiki permaidani terbang, mereka sememangnya berada di awang-awang tanpa kelihatan seutas tali pun yang menggantung permaidani berkenaan membuatkan penonton kagum.


ADEGAN nyanyian dan lakonan yang mantap menghiburkan penonton.

Tambahan pula, aspek pencahayaan yang menerangi pentas mengikut tema penceritaan pada malam itu dipuji kerana ia berjaya membawa penonton untuk menghayati setiap babak.

Paling mencuri perhatian adegan Aladdin dan Puteri Jasmie berada di atas permaidani terbang menuju ke bulan kerana aspek pencahayaan berjaya mewujudkan suasana romantis dan seakan realiti.

Sebaik sahaja tamat persembahan teater muzikal sekitar 150 minit itu, kami keluar dengan penuh kepuasan kerana menyaksikan lakonan mantap gabungan pelakon berbakat, sistem audio yang menarik dan penggunaan teknologi mewujudkan persembahan realiti.


TATARIAS penuh warna-warni sepanjang sesi pementasan.

Kalau dilihat pada harga tiket (apatah lagi jika dibandingkan dengan nilai ringgit) memanglah terasa agak mahal. Namun bagi peminat teater muzikal, ia berbaloi apatah lagi setiap pelakon mempamerkan persembahan terbaik yang menjadi tontonan pengunjung dari segenap pelosok dunia.

Jika anda ke Manhattan, di sepanjang Jalan W42 ada banyak dewan teater yang menyajikan pelbagai persembahan untuk pengunjung dan menjadi perkara biasa jika melalui kawasan itu sering kali disapa jurujual tiket dengan berpakaian watak di dalam persembahan masing-masing.

Pada masa sama, menonton Broadway juga adalah antara aktiviti yang menyokong kerjaya profesional pemain industri berkenaan kerana seperti yang anda ketahui, pengajian lakonan dan produksi sudah lama bertapak di Amerika Syarikat untuk melahirkan bakat serta tenaga kerja profesional.


LAKONAN hebat pelakon tidak boleh dinafikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 1:15 AM