DISERTAI 84 peserta pelbagai kategori.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Trek perlumbaan menepati spesifikasi litar ‘rentas desa olimpik’ (XCO) ditetapkan badan antarabangsa perbasikalan, Union Cycliste Internationale (UCI) menjadi tarikan utama kejohanan Temerloh MTB Challenge 2018 yang berlangsung awal bulan ini.

Beberapa kawasan selekoh pendek diikuti bukit tinggi antara cabaran utama diharungi 84 peserta bagi enam kategori termasuk Lelaki Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Lelaki Terbuka, Veteran, Lelaki Sukan Malaysia (SUKMA), Wanita SUKMA dan Wanita Terbuka.

Dilengkapi hampir 75 peratus trek ‘single’, litar ini diserikan halangan semula jadi seperti akar kayu, laluan berair dan batuan sekali gus memaksa peserta menonjolkan kemahiran dalam mengendalikan jentera masing-masing.

Lari daripada kelaziman trek MTB dan XCO seperti di ladang kelapa sawit atau laluan zig zag di kawasan terbuka, litar perlumbaan buatan sendiri Temerloh MTB Challenge ini mempunyai jarak sejauh 4.3 kilometer bagi setiap pusingan.


TAWAR enam kategori.

Timbalan Pengerusi Persatuan Berbasikal Daerah Temerloh, Zamri Ramli berkata, penganjuran kali pertama dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Daerah Temerloh mengambil masa lebih sebulan bagi menyiapkan laluan denai sepanjang tiga kilometer (km).

“Sebenarnya laluan denai ini adalah kawasan belukar berhampiran Taman Awam Kubang Gajah dan Taman Bandar Temerloh, malah ia dijadikan lokasi kali pertama diadakan perlumbaan.

“Kami memerlukan masa agak panjang untuk menyiapkan trek denai berkenaan, manakala baki 1.3km pula membabitkan laluan di tengah bandar.

“Pembinaan trek dilakukan selepas menerima kebenaran daripada Majlis Perbandaran Temerloh dan Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh.

“Selain itu, litar ini juga akan dimanfaatkan selagi tiada rancangan pembangunan akan datang.

“Setiap kategori, pelumba perlu menamatkan jarak kayuhan ditetapkan antara tiga hingga enam pusingan,” katanya.


TREK denai sejauh tiga kilometer.

Penganjuran perlumbaan MTB kali ini berjaya menarik perhatian ramai peng­gemar sukan berbasikal di seluruh negara termasuk pelumba kebangsaan Mohd Fauzan Ahmad Lutfi dan Masziyaton Mohd Radzi.

Berkongsi aspek keselamatan, Zamri berkata, penganjuran acara lasak ini mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia malah setiap peserta turut dilindungi insurans.

Bagi memastikan keselamatan di trek pula, laluan yang dibina diperiksa oleh pegawai bertauliah malah pelumba juga dibenarkan mencuba trek sebelum berlangsungnya kejohanan berkenaan.

“Kami memilih menganjurkan perlumbaan MTB kerana ia jarang diadakan menggunakan konsep pertandingan jika dibandingkan acara kayuhan ceria mahupun jambori.

“Selain itu, sukan MTB juga lebih menarik untuk ditonton, dalam masa sama, kita merebut peluang ini untuk mempromosikan kempen kayuhan basikal untuk semua,” jelasnya.


KALI pertama dianjurkan oleh Persatuan Berbasikal Daerah Temerloh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:40 AM