CUBA mengisi masa dengan aktiviti menarik.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri.

Pasangan, Nurulhudah Tajuddin, 33, dan suami, Mohd Firdaus Abd Rahim, 32, melihat pendekatan menerokai destinasi baru sebagai proses pembelajaran untuk menghargai keistimewaan tanah air sendiri.

Mendirikan rumah tangga pada 2011, minat melancong dimulakan Nurulhudah yang memiliki impian mengembara ke setiap pelosok dunia, kemudian mempengaruhi Mohd Firdaus yang sebelum itu sebagai penjaga isteri.

Menurut penulis blog ini, aktiviti mengembara dijadikan terapi diri bagi menghilangkan tekanan kerjaya dalam sektor perbankan sebelum ini.


BERKAHWIN tujuh tahun lalu.

“Selain melekakan diri dengan keindahan dan keunikan di tempat baru, saya dan suami dapat menghabiskan masa berkualiti bersama-sama.

“Sebenarnya suami tidak terlalu menggemari aktiviti ini, namun terpaksa menemani saya setiap kali bercuti. Lama-kelamaan, dia turut seronok.

“Meskipun berkongsi aktiviti sama, definisi bercuti bagi kami berbeza. Ini kerana saya memilih lokasi seperti pantai, pemandangan dan kaya budaya serta kehidupan masyarakat setempat manakala suami lebih serasi dengan taman tema, aktiviti laut serta bersantai di hotel,” katanya.

Bertanggungjawab dalam merangka dan merancang percutian, Nurulhudah berkata, antara pelan penting bagi menjayakan pengembaraan adalah bajet, lokasi penginapan, sistem pengangkutan dan susun atur perjalanan yang sesuai.

Menyifatkan suami individu yang teliti dengan waktu dan lokasi, kelebihan itu menjadikan perjalanan mereka lebih sistematik dan teratur.


MENGEMBARA cara untuk mengenali pasangan lebih baik.

Dikategorikan pelancong bajet, pasangan ini mengakui percutian berdua tanpa bantuan agensi pelancongan membuatkan saling menghargai dan memerlukan antara satu sama lain.

Tidak menafikan ada perselisihan faham ketika berdepan halangan seperti tersesat dan kelaparan, kedua-dua mereka perlu bijak mengawal emosi dan saling bertolak-ansur.

Menganggap setiap cabaran sebagai memori indah untuk dikenang, Nurulhudah bersyukur apabila memiliki Mohd Firdaus yang sering memberi dorongan terhadap minatnya.

“Suami tidak pernah menghalang aktiviti yang saya minati dengan syarat saya perlu menjaga maruah dan status sebagai isteri.

“Bagi saya, suami adalah sahabat dan kawan ‘bergaduh’ paling memahami diri saya. Justeru, saya lebih selesa dan teruja sekiranya merancang percutian bersama-sama.

“Tetapi itu tidak bermakna, saya tidak berpeluang menyertai pengembaraan bersama teman lain.

“Oleh kerana waktu cuti terhad, kami turut memanfaatkan hujung minggu untuk bercuti di destinasi terdekat selain pulang ke kampung.


LEBIH selesa mengembara bersama suami yang juga teman baiknya.

“Sekiranya dalam negara, kami lebih fokus pada hotel dan tempat makanan baharu.

“Percutian luar negara pula selalunya kami memilih tarikh istimewa sempena hari kelahiran saya dan suami serta ulang tahun perkahwinan.

“Percutian luar negara memakan kos tinggi, jadi kami perlu bersetuju dengan lokasi pilihan bersama supaya masing-masing seronok.

“Selalunya kami akan membeli tiket penerbangan setahun sebelum tarikh penerbangan, kemudian baru merancang bajet, merangka perjalanan dan mencari keistimewaan lokasi bakal dikunjungi,” jelasnya.

Meskipun menetapkan Paris dan Abu Dhabi sebagai destinasi percutian impian, Nurulhudah mengakui dia mendapat kepuasan tersendiri untuk jika melawat setiap negara Asia sebelum ‘terbang’ ke benua Eropah.


SALING bertolak-ansur dengan minat pasangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:35 AM