ZARINA menunjukkan sajian popular di Restoran Kaisar Thai.
Fatin Farhana Japre
rencana@hmetro.com.my

Hidangan seperti tom yam, somtam dan siakap kukus limau adalah sajian wajib dipesan setiap kali kita singgah di mana-mana restoran Thai.

Keenakannya memang menepati selera kita yang gemarkan rasa masam, manis dan pedas dalam satu sajian.

Tiada lagi istilah perlu menunggu waktu malam sekiranya mengidam makanan Thai kerana Restoran Kaisar Thai di Petaling Jaya menawarkan menu asli dari Thailand tidak kira siang atau malam.

Pemiliknya, Datin Seri Hajah Nurzarina Sepran, 33, berkata, restoran itu menawarkan beberapa sajian unik dan asli dari Thailand yang tiada di restoran lain.

Antara sajian unik yang wajib dicuba jika berkunjung ke restoran ini ialah sotong kukus limau dan daging masak daun limau.

Dua sajian ini sukar didapati di restoran Thai lain dan istimewa kerana sotong kukus limau disumbat dengan isi ayam dan suhun selain cukup rasa masam manisnya.


SOTONG kukus berlimau antara yang sukar ditemui di restoran lain.

Daging masak daun limau juga tidak mengecewakan, sekali makan memang terasa rempah perapan rahsia pada isi daging segar dan lembut.

Rasa tidak lengkap hidangan tanpa tom yam makanan laut. Tekstur kuah tom yam yang pekat membuatkan penulis tidak berhenti menghirup sambil menikmati kemanisan isi udang, sotong dan kupang.

Lebih menyelerakan, tom yam dipadankan dengan sajian ikan siakap tiga musim yang amat popular di restoran ini.


DAGING perap yang lembut dan istimewa rasanya.

“Restoran kami mahu memberi kelainan dan pilihan kepada pelanggan selain siakap tiga rasa dan stim limau yang sudah terlalu biasa.

“Oleh itu, kami mengetengahkan menu siakap tiga musim yang merangkumi tiga bahagian ikan siakap dengan rasa berbeza.

“Bahagian kepala ikan dimasak tiga rasa, badan ikan dimasak stim limau dan ekornya pula digoreng serta dilimpahi mayonis.

“Idea ini tercetus untuk melihat segelintir pelanggan yang mempunyai anak kecil atau tidak menggemari pedas untuk sama-sama menikmati ikan siakap di restoran kami,” kata Nurzarina.


IKAN siakap tiga musim.

Tambahnya lagi, antara yang tidak wajar dilepaskan ialah mencuba kerangupan telur goreng Kaisar yang berintikan cebisan daging atau ayam.

“Telur goreng Kaisar memang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan malah ia digelar ‘telur sarang burung’. Ia seakan telur dadar tetapi cef kami menjadikannya rangup dan tidak berminyak serta sesuai dinikmati semua golongan,” katanya.

Menu lain menarik perhatian penulis adalah Kaisar Thai Big Platter yang merangkumi set A dan B sesuai dinikmati seisi keluarga.

Bagi set A, anda akan dihidangkan nasi putih, tom yam, udang mentega, kerabu mangga, ulam, ketam tiga rasa, sotong tepung dan ayam gajus.


TELUR goreng Kaisar yang rangup dan berselera dimakan dengan nasi putih.

Manakala bagi anda yang menjaga pemakanan disarankan memesan set B yang menawarkan nasi putih, tom yam, kerabu mangga, daging bakar, udang bakar, ayam pandan dan ikan bakar.

Selain itu, bagi yang mahu menikmati sajian makanan laut longgok ala-ala shell out juga ada di sini. Bukan saja harganya berpatutan, malah anda pasti jatuh cinta dengan rasa kuah pedas istimewa yang melimpahi makanan laut longgok ini.

Hidangan lain yang menjadi tarikan di sini ialah kerabu maggi, Kaisar salad roll, pulut mangga, aiskrim kelapa, look chin Thai.

Restoran Kaisar Thai yang terletak di Jalan PJS 2/16A, Taman Maju Jaya, Petaling Jaya beroperasi setiap hari dari jam 12.30 tengah hari hingga 11 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Ogos 2018 @ 12:30 AM