KEINDAHAN seni bina kasino jadi tarikan pelancong ke Macao.
Nur Izzati Mohamad
cnews@nstp.com.my

Bersihnya Macao. Itu tanggapan penulis ketika menjejaki kota salah satu dari dua daerah pemerintahan khusus di China selain Hong Kong.

Terkenal dengan jolokan Las Vegas Asia kerana ekonominya yang tertumpu kepada aktiviti perjudian, namun Macao juga mempunyai keunikan dari segi seni bina bangunan dan landskap semula jadi yang menarik pengunjung ke daerah itu.

Berkesempatan ke Macao selama sehari menggunakan pengangkutan feri dari Hong Kong ternyata tidak puas untuk meninjau kota itu sepenuhnya apatah lagi tersangkut hampir satu jam di bahagian pemeriksaan imigresen berikutan penulis bersama rakan dikatakan lain daripada lain oleh pihak berkuasa sana.

Mana tidaknya, ketika itu hanya penulis dan empat orang rakan saja pelancong Islam yang memasuki Macao hingga menimbulkan kehairanan pihak berkuasa negara itu, namun selepas dinyatakan tujuan serta melakukan beberapa proses dokumentasi kami dibenarkan melawat kota itu.


KEINDAHAN kota Macao - Las Vegas Asia.

Selepas selesai urusan di bahagian imigresen, penulis bersama rakan terus bergegas mencari bas untuk bersiar-siar di kota Macao. Nasihat penulis apabila berdepan dengan situasi ditahan penguat kuasa imigresen di mana-mana negara, jangan panik sebaliknya menjawab pertanyaan mereka dengan tenang termasuk menyiapkan jadual perjalanan sebagai rujukan bagi menunjukkan kita benar-benar bersedia untuk memasuki negara yang ingin dilawati.

Berbalik kepada penjelajahan penulis di Macao, berikutan masa yang agak terhad kerana perlu mengejar feri terakhir untuk pulang ke Hong Kong semula pada lewat petang, kami cuma sempat meninjau lokasi tarikan utama saja di sana.

Antaranya sudah tentu tarikan Parisian dan Venetian yang mana pelancong akan merasai seakan-akan berada di Kota Paris, London dan Venice, Itali apabila terdapat monumen Menara Eifel serta tarikan mengelilingi tasik dengan gondola yang didayung seorang pengemudi sambil menyanyikan lagu dengan nada soprano.


REPLIKA Menara Eiffel antara destinasi wajib dikunjungi.

Ketika menjejaki kedua-dua tarikan itu mata kami terpukau dengan seni bina dan kebersihan kota kecil ini. Setiap pokok dijaga dengan rapi, bangunan mewah yang tersusun dan tiada satu sampah pun ditemui hingga mulut tidak henti-henti memuji keindahan yang terpampang di depan mata.

Justeru, bagi penulis usaha kerajaan di situ termasuk pelaburan tauke kasino untuk memperindahkan kota Macao bagi menarik pelancong luar bertandang ke daerah itu dianggap berjaya dengan wujudnya kedua-dua tarikan berkenaan termasuk seni bina bangunan pencakar langit yang menakjubkan.

Lebih menarik, untuk meningkatkan jumlah pelancong asing, pengangkutan bas untuk pergi kedua-dua tarikan yang dinyatakan penulis juga adalah percuma kerana kosnya semua ditanggung tauke kasino di situ.

Seakan-akan tidak percaya tetapi itulah yang menjadikan kota Macao mula dikunjungi pelancong dari serata dunia.


KEBERSIHAN kota Macao mengagumkan.

Namun begitu, Macao bukanlah lokasi mesra Muslim kerana tidak banyak kedai yang menjual makanan halal tetapi itu tidak boleh menjadi kekangan untuk pelancong beragama Islam bertandang ke daerah itu. Bagi yang sukakan makanan ala India, bolehlah menjamu selera di restoran India Muslim di sini.

Namun bagi penulis, persiapan rapi untuk masuk ke Macao dibuat lebih awal iaitu dengan membawa makanan yang dimasak di hotel untuk bekalan memandangkan perlu menghabiskan masa seharian di sana termasuk menyiapkan bekalan seperti biskut atau coklat untuk melapik perut.

Jadi perjalanan penulis berjalan lancar seperti yang dirancang dan paling penting menepis persepsi penulis terhadap Macao yang sebelum itu mengandaikan ia kota untuk mereka yang bermain judi semata-mata tetapi sebenarnya satu daerah patut dikunjungi kerana mempunyai keunikan tersendiri.

Bayangkan, dalam tandas pun sudah seperti rumah yang sangat bersih, inikan pula bahagian luar daerah itu yang begitu nyaman dan menenangkan.


RUANG pertunjukan dan persembahan muzik Itali di Macao yang gah, terasa seperti di Eropah.

Berjam-jam penulis bersama rakan menjelajah dan merakamkan foto kenangan, kami terus mengambil bas untuk pulang ke jeti kerana perlu mengejar masa ke Hong Kong.

Selepas Macao, penulis menghabiskan masa beberapa hari untuk menjelajah Hong Kong. Antara tempat yang dilawati di Hong Kong termasuk taman tema Disneyland, ‘Symphony of the Light’ yang terletak tidak jauh dari hotel penginapan penulis, ‘The Peak Tram’, ‘Sky Terrace 48’ dan Masjid Amar untuk menikmati dim sum halal.

Bagi aktiviti membeli belah pula, kami mengunjungi ‘Ladies Night Market’ yang terletak di Mongkok yang menawarkan pelbagai barangan pada harga jauh lebih rendah. Bagi penggemar kasut sukan berjenama, di sinilah tempatnya!


PENULIS (kiri) bersama rakan ketika menunggu ketibaan feri untuk ke Macao.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:45 AM