NASI madghout dihidangkan bersama sahawuq dan sup.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Selain nasi mandy, nasi madghout antara sajian pilihan pencinta makanan Yaman yang menggemari kelainan cita rasa apabila setiap butiran nasi diselaputi pes asli diperbuat daripada tomato, kulit kayu manis, ketumbar dan jintan manis masuk ke mulut mereka.

Seperti nasi Arab lain menggunakan beras basmathi, kaedah penyediaan nasi madghout memang istimewa. Berasnya perlu direbus selama empat jam hingga masak sebelum memasukkan rempah-ratus seperti kulit kayu manis, jintan putih, bawang dan lemon.

Dihidangkan dengan dua jenis lauk sama ada ayam mahupun kambing, terlebih dulu bahan mentah basah ini akan direbus bersama rempah-ratus terpilih sehingga masak sebelum ia ditoskan.

Apabila nasi sudah tersedia, ia akan dimasak semula dengan kaedah menggoreng bersama pes asli resipi restoran Yaman Chef dan dihidang bersama sambal atau sahawuq (kombinasi tomato, bawang putih dan cili api) serta sup rebusan kambing atau ayam.


NURUL Afifah (kiri) bersama suaminya, Qasem.

Pemilik restoran Yaman Chef, Nurul Afifah Harun berkata, menu nasi madghout mempunyai peminat tersendiri terutama Melayu dan India kerana ia sedikit pedas dan rasanya diperkaya dengan rempah-ratus.

“Di sini, kami menyajikan hidangan asli Yaman seperti nasi mandy, nasi madghout, nasi kabsah, nasi maqlubah, kebab, shish tawook, arrayse kambing, futoosh salad, hummos dan sup.

“Ayam panggang Yaman Chef antara menu terbaru diperkenalkan bermula Ramadan lalu yang didatangkan dalam dua saiz.

“Ayam ini diperap semalaman menggunakan pes yang dihasilkan daripada kombinasi serbuk cili, lada hitam, jintan putih, tomato dan lemon yang dikisar bagi menjadikannya secukup rasa, kemudian dipanggang.


FUTOOSH adalah keropok diperbuat daripada tepung gandum.

“Manakala bagi variasi menu gril pula, kita menggunakan arang kayu bakau Kuala Sepetang bagi memastikan kualiti hidangan terjamin kerana arang jenis ini kurang asap dan membolehkan makanan cepat masak. Tempoh membakar antara 10 hingga 15 minit saja,” katanya ketika ditemui bersama suaminya, Qasem Mohammed.

Sebagai sajian cadangan untuk keluarga besar, ‘mix grilled’ antara pilihan tepat untuk mencuba pelbagai jenis menu dalam satu hidangan.

Disajikan bersama ayam bakar, potongan daging kambing dan ayam, kebab kambing dan ayam, kentang goreng serta salad, pelanggan mempunyai pilihan sama ada untuk menjamunya bersama nasi mahupun roti.


YAMAN Chef Mix Grilled menawarkan variasi menu dalam satu hidangan.

Bagi pilihan lebih ringan, arrayse, sejenis roti arab berintikan daging ayam atau kambing yang dicincang dan diperap bersama serbuk lada hitam, cili dan jintan putih.

Inti arrayse juga disapukan minyak zaitun, seterusnya dibakar dalam api arang selama 10 minit. Hidangan ini lazat dinikmati bersama sos bawang putih dan cili.

Untuk menyempurna selera Asia Barat, secawan teh pudina Aden yang mempunyai cita rasa buah pelaga, buah pala dan kulit kayu manis.

Beroperasi setiap hari seawal jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam di Batu Caves, restoran ini mampu memuatkan 60 pelanggan dalam satu masa.


AYAM panggang yang diperap semalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 1:30 AM